Thursday, August 27, 2009
SJ Ringkas- Cara Hendak Kenal Allah
Assalamualaikum.
Saudara, penulisan dalam blog saudara betul menyedarkan
terutama ALLAH CINTA AGUNG
Apa pun saudara
macam mana tu nak mengenal Allah?
Saya faham akan cerita saudara, apakah saya sudah mengenal????
Saya tahu siapa saya sebagai hamba, mana tempat saya
Adakah saya dah kenal atau saya masih jauh lagi?
Saya harap saudara dapatlah berkongsi ilmu dengan saya
Jiwa ini sunyi
JAWAPAN:
Wlksm XXXX XXXX,
Terima kasih kerana sudi meneliti Allah Cinta Agung http://allahcintaagung1.blogspot.com/ .
Salah satu cara untuk mengenal Allah ialah dengan mengenal diri kita (makhluk) terlebih dahulu. Setelah mengenal diri kita (makhluk) ini, barulah selepas itu mudah untuk kita mengenal Allah.
Mengapa begitu?
Kerana hanya ada DUA hal saja iaitu Allah dan makhluk. Untuk mengenal Allah secara terus tidak kita mampu kerana Dia tidak boleh dilihat, dijamah, digambarkan dan sebagainya. Oleh itu kita kenalah mengenal lawan-Nya yang tunggal terlebih dahulu iaitu diri kita (makhluk), kerana makhluk umumnya boleh dilihat, ataupun dirasa, ataupun digambarkan dan sebagainya.
Salah satu kaedah yang sangat sesuai untuk mencapai pemahaman dalam hal ini ialah dengan mempelajari ilmu tauhid Sifat 20. Dalam ilmu ini, dijelaskan dengan terperinci perbezaan antara Allah dengan makhluk. Apabila mengetahui perbezaan ini, kenallah kita akan Allah SWT itu insyaallah.
Mengapa Lelaki Tidak Suka Solat Berjemaah?
Mengapa banyak orang lelaki tidak suka pergi solat fardhu berjemaah di masjid atau surau?
JAWAPAN:
Ada beberapa sebab, yang bersangkutan dengan kekurangan ilmu dan iman.
Kurang ilmu kerana:
1. Tidak mengetahui kelebihan-kelebihan yang bakal diperolehi oleh dirinya, keluarganya, masyarakatnya, umatnya, agamanya dan seluruh dunia dengan sebab berjemaah itu.
2. Tidak mengetahui kerugian-kerugian yang akan ditanggung oleh dirinya, keluarganya, masyarakatnya, umatnya, agamanya dan seluruh dunia dengan sebab meninggalkan berjemaah itu.
Kekurangan ilmu ini menjadikan kaum lelaki tidak pergi berjemaah kerana:
1. Ada yang mudah dipengaruhi oleh anasir tertentu agar tidak pergi berjemaah.
2. Ada kumpulan-kumpulan yang mendakwa memperjuangkan Islam sendiri kurang menitik-beratkan hal berjemaah ini. Kumpulan dakwah sendiri sudah begitu, kaum lelaki yang tidak terlibat dengan dakwah tentulah tidak ada motivasi untuk pergi berjemaah.
3. Ada individu dan masyarakat yang keberatan untuk pergi berjemaah kerana khuatir akan ditolak menjadi imam.
4. Ada keluarga dan masyarakat yang bersikap ‘biasa saja’ kepada mereka yang tidak pergi berjemaah. Masyarakat ini tidak akan menggerakkan kaum lelaki mereka pergi berjemaah.
5. Ada ulama dan ahli ibadah sendiri yang mengabaikan tuntutan berjemaah. Masyarakat tentunya mengambil para ulama dan ahli ibadah ini sebagai contoh.
6. Masyarakat lebih tertarik ke kedai kopi dan rancangan televisyen.
7. Pemerintah sendiri tidak mencontohkan dan menggalakkan masyarakat pergi berjemaah.
8. Tidak bermotivasi untuk pergi. Solat di rumah dirasakan begitu selesa dan mudah. Jika pergi berjemaah akan rugi masa dan tenaga untuk bersiap, menghidupkan kenderaan, perjalanan pergi, meredah cuaca, bertegur sapa dengan orang lain, perjalanan pulang dan lain-lain.
9. Lain-lain lagi.
Kurang iman pula kerana memang malas untuk pergi walaupun kadang-kadang memang tahu serba-sedikit tentang kelebihan-kelebihan dan kerugian-kerugian di atas tadi. Ada ilmu tetapi malas dan buat tidak kisah.
Kurang ilmu lebih mudah diusahakan berbanding kurang iman.
Wallahualam.
Tuesday, August 25, 2009
Tarawih vs Fardhu
Dakwah Tajdid Segar mengajar kita supaya bijak memilih antara ‘YANG PENTING’ dengan ‘YANG LEBIH PENTING’, dan antara ‘YANG UTAMA’ dengan ‘YANG LEBIH UTAMA’. Pada bulan Ramadhan ini kita lihat banyak orang yang masih tersilap ataupun terkeliru dalam membuat pertimbangan. Sebahagiannya memang tidak tahu manakala sebahagian lagi buat-buat tidak ambil tahu sedangkan mereka memang sedia tahu.
Solat fardhu berjemaah bagi lelaki ialah satu tuntutan, dengan tuntutan yang berat. Solat tarawih berjemaah pula hanyalah solat sunat. Bahkan Nabi Muhammad saw sendiri lebih banyak melakukan solat sunat tarawih bersendirian di rumah berbanding di masjid. Tapi masyarakat kita umumnya melebihkan solat sunat tarawih berjemaah berbanding solat fardhu Isya’ dan Subuh berjemaah. Dalam contoh yang mudah, kita mengejar-ngejar satu kerja yang bayarannya RM 10 sehari berbanding satu kerja yang gajinya RM 100 sehari. Kan tidak bijak bertindak begitu?
Dari segi keutamaan, ibadah yang sunat tidak boleh menandingi keutamaan ibadah yang wajib. Maksudnya, jika kita perlu memilih antara untuk hadir antara solat fardhu Isya’ berjemaah dengan solat sunat tarawih berjemaah, kita sepatutnya memilih solat Isya’. Begitu juga dengan solat berjemaah fardhu Subuh. Tapi yang biasa saya lihat (di tempat anda mungkin ada perbezaan), jumlah jemaah lelaki pada waktu solat tarawih lebih banyak daripada waktu solar Isya’. Bertambah lengang pula pada waktu Subuh.
TARAWIH VS FARDHU
“Barangsiapa solat Isya’ berjemaah, (dia) seolah-olah BERSOLAT SEPARUH MALAM. Dan barangsiapa (selepas itu) solat Subuh berjemaah (pula), (dia) seolah-olah BERSOLAT SEPANJANG MALAM.”
(Muslim, Ahmad dll)
“Barangsiapa yang solat Isya’ dan Subuh berjemaah, itu seolah-olah SOLAT SEPANJANG MALAM.”
(Ahmad, Abu Daud dll)
Jangka masa solat tarawih antara 30 minit ke 1 setengah jam lebih kurang. Bandingkan dengan jumlah masa ‘solat seluruh malam’. Katakanlah malam mengikut waktu Semenanjung Tanah Melayu bermula dari pukul 7.30 senja hinggalah pukul 5.30 subuh. Ada lebih kurang 10 jam! Jika kita mengerjakan solat Isya’ berjemaah, seolah-olah kita sentiasa dalam keadaan bersolat sunat selama 5 jam. Dan jika kita tambah dengan solat Subuh berjemaah, seolah-olah 10 jam. Bandingkan dengan tempoh masa solat tarawih.
Bagi kita yang tahu, memang nampak pelik benar perlakuan sebahagian besar masyarakat kita yang mengejar solat tarawih berjemaah tetapi meringan-ringankan ataupun mengabaikan terus solat fardhu berjemaah.
KESILAPAN KITA
Ali biasanya sengaja tidak datang solat fardhu Isya’ berjemaah tapi istiqamah datang solat tarawih berjemaah. Ahmad pula memang rajin datang solat fardhu Isya’ berjemaah, tapi biasanya selepas itu terus pulang tanpa bertarawih berjemaah.
Situasi yang biasa kita lihat, orang tidak kata apa-apa dengan perlakuan Ali tetapi orang memandang agak serong kepada Ahmad. Padahal antara dua perlakuan ini, Ahmad yang benar.
KELEBIHAN-KELEBIHAN SOLAT BERJEMAAH
“Solat berjemaah adalah 27 KALI LEBIH BAIK daripada solat secara bersendirian.”
(Bukhari, Muslim dll)
Ada dalam kalangan masyarakat kita yang memang suka solat fardhu di rumah walaupun tanpa ada sesuatu keuzuran. Mereka (kadang-kadang kita dan saya sendiri pun) buat endah tak endah saja dengan janji Allah untuk mengurniakan kelebihan 27 kali jika solat berjemaah. Tapi cuba kita tukarkan bilangan 27 itu dengan wang!
Sesiapa yang solat fardhu di rumah akan dibayar RM 1 oleh kerajaan. Sehari semalam dapatlah RM 5. Sesiapa yang solat fardhu berjemaah di masjid surau pula akan dibayar RM 27 setiap satu waktu. Dalam sehari semalam dapat RM 135. Sama-sama kita fikir, di mana masyarakat kita akan menunaikan solat fardhu mereka? Alamatnya penuhlah masjid dan surau. Pada waktu Maghrib mungkin ada masjid surau yang tidak cukup ruang.
Bukan anak-anak lelaki saja yang dipaksa oleh ibu bapa mereka ke masjid, tak mustahil anak-anak perempuan pun akan dipakaikan pakaian lelaki dan digesa pergi sama. Mana taknya, seorang anak boleh dapat RM 27, lima orang anak sudah RM 135 untuk satu kali solat!
Sekadar inilah taraf keimanan orang kita (tak terkecuali saya sendiri) dalam soal solat fardhu berjemaah ini. Kita memandang DUIT lebih besar daripada kasih sayang Tuhan dan pahala. Dalam dakwah Tajdid Segar ini, kita mestilah mengasuh diri kita dan seterusnya masyarakat dan umat supaya memandang kasih sayang Tuhan dan pahala adalah lebih penting untuk diperolehi.
KELEBIHAN-KELEBIHAN MENUJU KE TEMPAT BERJEMAAH
“Apabila seseorang itu berwudhuk dengan sempurna ( di tempatnya/ rumahnya) dan menuju ke masjid dengan niat semata-mata hendak solat, maka SETIAP LANGKAHNYA MENDAPAT PAHALA dan MENGHAPUSKAN DOSA.”
(Bukhari)
Tidakkah kita berasa rugi akan setiap langkah kita jika solat fardhu di rumah? Sekali lagi kita kalah dari segi DUIT vs kasih sayang Tuhan dan pahala. Bayangkan jika pemerintah bersetuju membayar RM 1 untuk setiap langkah dan menghapuskan RM 1 daripada hutang-hutang kita untuk setiap langkah? Seratus langkah bermaksud dapat RM 100, dan hutang kereta/ rumah/ peribadi kita ditolak RM 100! Alamatnya berbondong-bondonglah tua muda ke masjid dan surau.
Ada pula yang pandai menjawab, “Alaa ustazz, zaman sekarang orang naik motor, basikal, kereta. Mana ada langkah-langkah dah!” Jawapannya- Allah Maha Tahu kaedah untuk mengira jumlah langkahan kita. Segala duit minyak, duit tayar, duit beli kenderaan dan lain-lain akan mendapat ganjaran yang lumayan daripada Allah SWT.
Cuma jangan lupa SYARATNYA- berwudhuk di rumah siap-siap.
“Barangsiapa berjalan ke masjid pada waktu pagi dan petang, maka Allah akan menyediakan baginya satu rumah jamuan di dalam syurga setiap kali dia pergi ke masjid.”
(Bukhari, Muslim, Ahmad dll)
“7 golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (pada hari akhirat)... (salah satu golongan ialah) seorang lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid.”
(Bukhari & Muslim)
Orang yang hatinya jauh dengan masjid tentulah tidak termasuk dalam perjanjian ini.
“Berilah berita gembira kepada mereka yang selalu pergi ke masjid pada waktu malam gelap kerana mereka akan mendapat cahaya yang sempurna pada Hari Hisab nanti.”
(Abu Daud, Ibnu Khuzaimah, Al-Hakim)
“... dan seandainya mereka mengetahui kelebihan yang terdapat dalam solat Isyak dan solat Subuh, sudah tentu mereka akan mendatanginya WALAUPUN DENGAN CARA MERANGKAK".
(Muslim)
Tapi kita yakin, jika ada pihak yang mahu membayar RM 27 untuk satu waktu, memang akan ada orang yang mahu datang walaupun terpaksa merangkak.
AWAS SAUDARAKU!
“Seandainya seorang (lelaki) itu tidak pergi ke masjid padahal dia mendengar azan tanpa uzur syar’i yang kuat, maka solatnya ( di rumah) TIDAK AKAN DITERIMA.”
(Abdu Daud & Ibnu Majah)
Kita ‘check’ amalan masing-masing. Sudah berapa lama sebenarnya solat kita tidak diterima oleh Allah? Jadi selepas ini, rajin-rajinlah ke masjid dan surau. : )
“Kalau seseorang itu ingin menemui Allah pada hari Hisab (hari perhitungan) SEBAGAI SEORANG MUSLIM, dia mestilah bersembahyang di tempat azan dilaungkan iaitu di masjid (ataupun surau).”
(Muslim & Abu Daud)
Kita renung sendiri juga... kita mahu bertemu dengan Allah nanti sebagai seorang apa?
Sabda Rasulullah saw: “Aku ingin menyuruh budak-budak mengumpul kayu api banyak-banyak untukku, dan kemudian aku hendak pergi dari rumah ke rumah orang-orang yang (sengaja) solat di rumah masing-masing tanpa sesuatu uzur, lalu MEMBAKARNYA.”
(Muslim)
Betapa beratnya kesungguhan baginda Rasulullah dalam soal berjemaah ini. TAPI, jangan pula kita melebihi kesungguhan baginda dengan pergi membakar pula rumah-rumah mereka yang sengaja tidak mahu berjemaah!! Nabi sendiri tidak buat begitu, sahabat pun tidak, para ulama pun tidak. Sabda Nabi ini sekadar untuk menunjukkan KESUNGGUHAN bagainda dan betapa BERATNYA TUNTUTAN solat fardhu berjemaah.
Kata Abdullah bin Mas’ud: “Kalau kamu bersembahyang di rumahmu, maka kamu sudah MENINGGALKAN SUNNAH Rasulullah saw. Dan apabila kamu meninggalkan sunnah-sunnahnya maka SESATLAH KAMU”
(Muslim & Abu Daud)
Apa macam?
Tambah lagi. Orang bertanya kepada Ibnu Abbas: “Bagaimanakah dengan seseorang yang berpuasa sepanjang hari dan mengerjakan solat sunat sepanjang malam, tetapi tidak pergi ke masjid untuk solat berjemaah dan solat Jumaat?”
Jawab Ibnu Abbas: “Dia ialah PENGHUNI NERAKA.”
(Turmizi)
Hebatnya para abid (ahli-ahli ibadah) ini, tapi Abdullah bin Abbas berani mengatakan “Dia ialah penghuni neraka”.
Ada seorang buta datang mendapatkan Nabi S.A.W, katanya: “Ya Rasulullah, saya tidak mempunyai penuntun yang akan membimbing saya ke masjid.” Lalu dipohonnya kelonggaran untuk bersembahyang di rumah sahaja. Permintaannya itu dikabulkan oleh Nabi. Tapi baru sahaja ia pergi, tiba-tiba dia dipanggil kembali oleh nabi yang menanyakan: “Apakah engkau dengar panggilan azan?” Jawabnya: “Ya.” Maka sabda baginda: “Kalau begitu, datanglah!”
(Muslim)
Maksudnya rumah orang buta ini tidak jauh sangat dari masjid. Jadi dia kena datang. Bagaimana dengan kita yang tidak buta ini?
BEBERAPA KEMUSYKILAN
Persoalan 1:
“Saya ada sedikit kesukaran untuk tiba awal ke masjid. Biasanya ketika saya sampai, orang sudah habis berjemaah. Jadi, kalau saya pergi pun tak guna juga.”
Jawapan:
“Seseorang yang berwudhuk dengan sempurna (di rumah) kemudian pergi ke masjid, dan didapatinya solat berjemaah sudah selesai, akan menerima PAHALA SAMA BANYAK dengan orang-orang yang solat berjemaah. Tidaklah kurang suatu apa pun daripada pahala orang-orang yang sudah solat berjemaah.”
(Abu Daud, An-Nasa’i & Al-Hakim)
Tapi... jangan sengaja pergi lambat. Hadis di atas berkaitan dengan orang-orang yang ada usaha untuk pergi awal tetapi terlewat.
Selain itu, ganjaran-ganjaran di bawa tajuk “KELEBIHAN-KELEBIHAN MENUJU KE TEMPAT BERJEMAAH” di atas tadi tetap diperolehi juga walaupun kita terlewat berjemaah. Kan masih terlalu untung besar?
Jangan lupa SYARATNYA – berwudhuk di rumah siap-siap.
Persoalan 2:
“Di tempat saya memang tidak hidup solat berjemaah. Kalau saya pergi pun, sayalah siak, sayalah bilal dan sayalah imam merangkap makmum.”
Jawapan:
Anda tetap mendapat kesemua ganjaran dalam persoalan 1 tadi insyaallah. Yang pentingnya, anda dan orang-orang di bawah anda (anak isteri) sudah terlepas daripada tuntutan fardhu kifayah sedangkan warga kariah anda yang lain masih menanggung dosa kerana gagal melaksanakan fardhu kifayah. Sekiranya anda dapat seorang lagi untuk berjemaah, bermaksud anda sudah menyelamatkan seluruh kariah.
Persoalan 3:
“Saya ahli hakikat sedangkan imam-imam di tempat saya semua ‘sembahyang kulit’ saja.”
Jawapan:
Persoalan hati dan pemahaman hanya Allah yang Maha Tahu. Kita serahkan kepada Dia. Yang pentingnya kita penuhi tuntutan sunnah Rasulullah iaitu solat berjemaah di masjid/ surau.
Jika di tempat itu sesiapa pun boleh jadi imam (tidak ada jawatan khas), jadikanlah diri anda orang yang layak sebagai imam. Untuk mendalami ilmu keTuhanan boleh anda habiskan bertahun-tahun, tentu mudah saja untuk ambil sedikit masa mempelajari ilmu jadi imam yang tidak sesukar belajar ilmu hakikat.
Persoalan 4:
“Saya tak mahu solat tarawih kerana ada urusan lain. Tapi lepas solat Isya’, segan pula nak balik sambil diperhatikan jemaah yang lain. Jadi lebih baik tak pergi langsung.”
Jawapan:
Anda terpaksalah berlatih buat muka selamba badak. Lama-lama nanti akan biasa. : )
Persoalan 5:
“Bolehkah sesekali saya solat berjemaah di rumah bersama-sama keluarga? Pada saya ia satu strategi dakwah juga.”
Jawapan:
Boleh.
Persoalan 6:
“Bila masanya kita boleh tidak pergi berjemaah?”
Jawapan:
Jika ada urusan penting yang memang susah untuk ditinggalkan (nilai sendiri tahap kepentingannya).
Jika ada ujian dari tentera Tuhan seperti hujan lebat, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, terlalu panas, angin kuat dan seumpamanya.
Jika ada kemungkinan keselamatan terancam seperti dalam suasana perang, penjenayah berleluasa, ada musuh peribadi yang memang menanti peluang hendak menjahanamkan kita, binatang liar/ buas (harimau, serigala, babi hutan dan lain-lain) berkeliaran, wabak penyakit menular dan seumpamanya.
Jika tidak sihat sama ada diri sendiri ataupun ahli rumah.
Jika takut terjumpa orang yang kita berhutang kepadanya (dalam keadaan kita memang belum mampu membayarnya setelah kita berusaha) kalau-kalau dia menggesa kita membayar.
Dan lain-lain sebab yang munasabah.
Persoalan 7:
“Saya memang hendak pergi berjemaah, tapi di tempat saya memang tak ada sesiapa yang mampu jadi imam. Yang mampu tak datang pula. Tinggallah yang tak mampu. Akhirnya semua takut hendak datang.”
Jawapan:
Kena pakat-pakat usaha bodek orang yang mampu itu supaya datang. Kena keluarlah sikit tenaga, masa dan wang.
Anda sendiri kena usahakan agar anda mampu jadi seorang imam.
Persoalan 8:
“Makam saya lebih tinggi daripada makam imam yang dilantik. Bacaan saya pun lebih fasih daripadanya. Bagaimana saya hendak berimamkan dia?”
Jawapan:
Majoriti ulama mengatakan Saidina Abu Bakar sebagai sahabat yang paling afdhal. Tapi banyak juga ulama memilih para sahabat lain seperti Abbas, Fatimah, Saidina Ali dan lain-lain.
Berdasarkan maklumat ini, Saidina Ali contohnya tidak ada masalah untuk berimamkan sahabat yang lain walaupun dia sahabat paling afdhal, malah boleh jadi juga dia sahabat yang terfasih bahasanya memandangkan dia membesar dalam jagaan Rasulullah, yang berinteraksi begitu lama dengan Rasulullah.
Jadi, anda datang sajalah solat berjemaah.
MASALAH ORANG PEREMPUAN PULA
Memang terpuji kesungguhan makcik-makcik dan kakak-kakak yang begitu gigih ke masjid surau sepanjang bulan Ramadhan ini. Sehinggakan pada waktu Subuh pun berlumba-lumba ke masjid surau, seolah-olah satu kemestian (walaupun bukan kewajipan) pula. Sebenarnya kaum wanita tidak dituntut solat berjemaah fardhu di masjid surau. Lebih afdhal solat fardhu di rumah.
Namun begitu, tidaklah menjadi kesalahan untuk pergi. Malahan lebih baik pula jika ada pengajian, majlis-majlis syiar Islam, untuk mengerjakan solat tarawih dan lain-lain.
Yang jadi masalahnya ialah apabila si wanita begitu istiqamah untuk solat berjemaah di masjid surau tapi tidak pula menggesa anak-anak lelaki, suami, abang, adik lelaki dan bapa mereka untuk pergi. Mereka merasakan solat fardhu berjemaah Isya’ dan Subuh itu satu tuntutan yang seakan-akan mesti mereka penuhi, tetapi buat tidak tahu saja ahli keluarga mereka yang lelaki. Sekiranya gesaan sudah dibuat selalu dan mereka yang lelaki masih degil, tak mengapalah. Nak buat macam mana...
PENUTUP
Kepada semua- sekarang kita sudah ada pemahaman dalam hal ini. Mulai saat ini, kita semua bertindaklah agar ‘YANG LEBIH UTAMA’ dan ‘YANG LEBIH PENTING’ didahulukan. Bermula dengan diri kita, keluarga kita dan seterusnya masyarakat kita.
Kepada kaum wanita- gesalah kaum lelaki pergi solat fardhu berjemaah, bukannya anda pula yang tergesa-gesa untuk melakukannya.
Kepada para pendukung, peminat dan pemerhati dakwah Tajdid Segar pula- dalam dakwah ini kita mestilah membereskan perkara-perkara pokok/ asas terlebih dahulu. Apa guna kita berbicara hal yang besar-besar sedangkan tuntutan-tuntutan asas (seperti solat fardhu berjemaah ini) gagal kita penuhi. TAPI, dalam usaha kita membereskan yang asas, jangan kita tinggalkan terus pula hal-hal yang besar-besar. Kita sangat mementingkan KESEIMBANGAN.
Wallahualam.
p/s : Kuliah saya yang ada sedikit-sebanyak dengan hal di atas ada di sini:
http://ribuanceramah.blogspot.com/2009/08/abu-zulfiqar-permasalahan-solat-tarawih.html
Wednesday, August 19, 2009
Kuliah - Permasalahan Solat Tarawih
Antara yang saya sentuh:
Bilakah masa solat tarawih?
Apakah hukum solat tarawih?
Apa fadhilat solat tarawih?
Berapa rakaatkah solat tarawih?
Apakah Rasulullah menghadkan jumlah rakaatnya?
Mengapa penduduk Madinah mengerjakan 36 rakaat?
Mana lebih baik anatara 36 dengan 20?
Siapa yang mula-mula mengerjakan 20 rakaat?
Apakah bidaah melebihkan jumlah rakaat?
Jika benar, apa jenis bidaahnya?
Mengapa banyak juga yang mengerjakan 8 rakaat hari ini?
Apa kepentingan tazkirah tarawih?
Mengapa Rasulullah tidak berjemaah tarawih di masjid?
* 6 fail
Kuliah - Ramadhan & Puasa
Antara yang saya sentuh:
Berapa besarkah pahala berpuasa?
Apakah kaitan puasa dengan syurga?
Apakah keistimewaan orang-orang yang berpuasa?
Apakah kaitan puasa dengan Ramadhan?
Mengapa sebahagian ulama sufi menggerakkan tasbih sedangkan mereka sedang berbicara?
Apakah tingkatan-tingkatan orang yang berpuasa?
Mana lebih baik- puasa tapi tak solat ataupun solat tapi tak puasa?
Mana lebih utama, solat Subuh/ Isya' berjemaah ataupun terawih?
Mana lebih utama bagi wanita- solat sendirian di rumah ataupun solat berjemaah di masjid?
Bolehkah berpuasa sedangkan kita belum mandi wajib?
Bolehkah merasa makanan yang hendak dibeli ataupun dimasak?
Bolehkah kita menerima suntikan ubat?
Nabi Muhammad mendahulukan apa ketika berbuka?
Ketika bersahur, azan Subuh terdengar. Bagaimana?
Elokkah bermaaf-maafan menjelang Ramadhan?
* 5 fail
Kuliah -Puasa Sunat & Syaaban
Siapakah yang boleh berpuasa selepas 15 Syaaban?
Bolehkah berpuasa 3 bulan berturut-turut (Rejab, Syaaban, Ramadhan)?
Puasa sunat manakah yang terbaik?
Bagaimanakah puasa sunat Rasulullah saw?
* 3 fail video
Friday, August 7, 2009
Kitab Kasyful Asrar (bah. 1)
*Dimudahkan bahasanya (dengan sedikit huraian) supaya tidak timbul lagi kekeliruan/ mengurangkan kekeliruan ketika membacanya. Disarankan membacanya berulang kali untuk mendapatkan pemahaman sebenar.
KASYFUL ASRAR (Pembukaan Segala Rahsia)
Apakah ilmu-ilmu yang menjadi fardhu ain (wajib dipelajari) kepada kita?
1. Ilmu usuluddin (tauhid)
2. Ilmu fekah
3. Ilmu tasauf
Paling kurang, apa yang mesti dipelajari dalam ilmu usuluddin?
Tahu apa yang wajib, apa yang mustahil dan apa yang harus bagi Tuhan dan rasul.
Paling kurang, apa yang mesti dipelajari dalam ilmu fekah?
Tahu syarat amal, rukun amal dan perkara-perkara yang membatalkan amal.
Paling kurang, apa yang mesti dipelajari dalam ilmu tasauf?
Tahu sifat-sifat mazmumah, iaitu perkara-perkara yang merosakkan pahala amal seperti riya’, sum’ah, ujub, takbur dan lain-lain.
Bagaimana jika kita beramal tanpa mengetahui (mempelajari) ilmu-ilmu fardhu ain ini?
Tidak diterima amalan-amalan kita.
Dari mana datangnya amal dan makrifah?
Dari ilmu.
Dari mana datangnya ilmu?
Dari Al-Quran. Ilmu-ilmu yang bertentangan dengan al-Quran dan sunnah adalah tertolak.
Apakah perkara paling awal yang mesti diketahui dalam agama?
Mengenal Tuhan iaitu Allah Taala.
(Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, kemungkinan besar kita akan menyembah selain Tuhan yang kita sangkakan Tuhan. Jadilah syirik)
Bagaimanakah cara untuk mengenal Allah Taala?
Dengan mengenal diri.
(Selepas kita mengenal diri kita, barulah mudah untuk kita mengenal Allah Taala kemudiannya)
Apakah yang dinamakan ‘agama’?
Iman, Islam, tauhid dan makrifah.
Apakah erti iman?
Percaya kepada Allah, rasul, malaikat, kitab, hari akhirat dan qada’ qadar (Rukun Iman).
Apakah erti Islam?
Buat apa yang Tuhan suruh, tinggal apa yang Tuhan larang.
Apakah erti tauhid?
MengEsakan (mentauhidkan) Zat, sifat, asma’ dan af’al Allah.
(Zat ialah Diri Allah. Sifat ialah kelakuan Allah. Asma’ ialah nama Allah. Af’al ialah perbuatan Allah)
Apakah erti makrifah?
Membezakan antara yang baharu (asalnya tidak ada, kemudian baru ada) dengan yang qadim (asal-asal sudah sedia ada).
Apa maksud percaya akan Allah?
Percaya akan zat, sifat, af’al dan asma’Nya.
Apa erti percaya akan rasul (Rasulullah)?
(Antaranya) percaya:
1. Dia memang pesuruh Tuhan
2. Dia berbangsa Quraisy dari Mekah
3. Dia lahir di Mekah
4. Usianya 63 tahun
5. Dia wafat di Madinah
6. Kuburnya ada di Madinah
Apa erti percaya kepada malaikat?
(Antaranya) percaya mereka:
1. Bertubuh halus
2. Bukan lelaki, bukan perempuan
3. Tidak makan, tidak minum
4. Tiada syahwat
5. Tidak beranak, tidak diperanakkan
6. Tidak tidur
Apakah erti percaya akan kitab?
(Antaranya) percaya kitab-kitab suci itu:
1. Diturunkan dari langit
2. Dibawa oleh Jibrail
3. Jumlahnya 104 buah kitab (*bahagian ini saya tidak tahu sumbernya)
Apakah erti percaya kepada ‘hari kemudian’?
(Antaranya) percaya:
1. Hari kiamat
2. Kebangkitan dari kubur
3. Perhimpunan di masyhar
4. Ditimbang dosa pahala
5. Titian sirat
6. Telaga
7. Syurga
8. Neraka
Apakah erti percaya akan qada’ qadar?
Percaya untung baik, iman, taat, untung jahat, kufur dan maksiat itu semuanya sudah ditentukan oleh Allah (sejak azali).
Apakah maksud Esa zat Allah Taala?
Tidak ada yang maujud di dalam alam ini kecuali Allah (tetapi jangan tersalah pula dengan menyangkakan bahawa alam inilah Allah, kerana alam ini ialah makhluk).
Apakah maksud Esa sifat Allah?
(Pada hakikatnya):
1. Tidak ada yang hidup selain Allah.
2. Tidak ada yang mengetahui selain Allah.
3. Tidak ada yang berkehendak selain Allah.
4. Tidak ada yang mendengar selain Allah.
5. Tidak ada yang melihat selain Allah.
6. Tidak ada yang berkata-kata selain Allah.
(Dan pada syariatnya pula, makhluk boleh hidup, mengetahui, berkehendak, mendengar, melihat dan berkata-kata)
Allah dengan makhluk umpama sesuatu dengan bayang-bayangnya. Apabila bergerak tuan punya bayang, maka bergeraklah bayang-bayangnya. Mustahil bayang-bayang boleh bergerak sendiri jika tuan punya bayang tidak bergerak. Bergeraknya bayang-bayang juga menjadi bukti kewujudan tuan punya bayang. Wujudnya alam ini menjadi bukti kewujudan Penciptanya. Adanya cahaya matahari menunjukkan wujudnya matahari itu walapun kita tidak melihat si matahari itu (seperti kita duduk di dalam gua dan memandang ke luar gua).
Mustahil bayang-bayang bercerai dengan tuan punya bayang. Namun begitu, mustahil juga untuk bayang-bayang bersekutu dengan tuan punya bayang. Tidak bercerai, tapi tidak bersekutu. Mustahil makhluk bercerai dengan Tuhan tetapi makhluk tidak pernah bersekutu dengan Tuhan.
Bayang-bayang itu tidak lain ialah tuan punya bayang, tetapi bayang-bayang itu tetap tidak pernah sama dengan tuan punya bayang.
(Hendaklah difahamai betul-betul bahawa) Contoh-contoh (misalan-misalan) yang dibuat ini tidak pernah sama dengan apa yang hendak disampaikan, tetapi dibuat contoh juga kerana contoh-contoh ini ‘hampir-hampir’ sama dengan apa yang hendak disampaikan itu. Mengapa? Kerana Allah tidak boleh dibuat contoh. Dia Maha Suci daripada sebarang contoh/ misal. Tidak ada satu benda pun yang cocok untuk dibuat contoh untuk Allah. Dalam usaha untuk memindahkan ilmu, terpaksa kita ambil contoh yang agak hampir. Begitu ceritanya. Oleh itu jangan sesekali menyamakan 100% apa yang dicontohkan dengan apa yang hendak disampaikan.
(Mereka yang menyamakan contoh-contoh kami dengan apa yang kami hendak sampaikan, sudah pasti akan tersalah faham dan seterusnya menuduh ilmu ini sebagai sesat. Padahal dia yang tidak faham kaedah-kaedah yang kami gunakan. Contoh-contoh itu tidak pernah sama 100% dengan apa yang kami maksudkan)
Apakah maksud Esa af’al Allah?
1. Semua perbuatan/ perlakuan di alam ini (pada hakikatnya) tidak lain ialah perbuatan/ perlakuan Tuhan. Bukan perbuatan/ perlakuan makhluk.
2. (Pada hakikatnya) jika kita percaya bahawa mahkluk mampu berbuat sesuatu walau sekecil/ lebih kecil daripada zarah pun, kita sudah melakukan syirik.
Bagaimana jika kita tidak tahu membezakan antara yang baharu dengan yang qadim?
Itulah namanya jahil murakkab bersusun dua. Pertama jahil tentang dirinya. Kedua jahil tentang Tuhannya.
Apa yang akan kita dapat dengan makrifah?
Dapat mengenal diri.
Selepas berjaya mengenal diri?
Dapat pula mengenal Allah.
Selepas mengenal Allah?
Wujud diri kita itu jadi ‘binasa’.
“Sesiapa yang mengenal dirinya, akan mengenal Tuhannya. Sesiapa yang mengenal Tuhannya, ‘binasa’ dirinya.”
Ketika itu, siapakah yang mengenal dan siapa pula yang dikenal?
(Pada hakikatnya ketika itu) ‘Yang Mengenal’ itulah ‘Yang Dikenal’ (kerana makhluk tidak punya sebarang keupayaan untuk mengenal apa-apa termasuklah Tuhannya. Yang Mengenal itu pada hakikatnya ialah Tuhan sendiri kerana Dia saja yang berkuasa untuk mengenal apa-apa. Begitulah pada hakikatnya, bukan pada syariatnya)
“Aku mengenal Tuhanku ‘dengan’ Tuhanku.”
Bagaimana kita hendak mengenal Tuhan kerana Dia tidak boleh dilihat dengan mata kepala?
(Hendak mengenal sesuatu yang tidak boleh dilihat, mestilah dengan cara ‘tidak melihat’ juga). Kita boleh mengenal Tuhan dengan cara mengenal sifat-sifatNya.
Yang mana yang dinamakan ‘sifat’ itu?
Sifat itu ialah sesuatu yang menjadi tambahan ke atas zat.
Apakah erti sifat?
Kelakuan.
Apakah erti zat?
Dirinya.
Apakah erti af’al?
Perbuatan.
Apakah erti asma’?
Nama.
Yang mana yang dinamakan asma’ itu?
Asma ‘ itu ialah suatu yang menunjukkan sesuatu. (Contohya ‘lembu’ digunakan untuk menunjukkan sejenis makhluk Allah yang bertanduk, boleh diperah susunya, dimakan dagingnya dan seterusnya. Itulah ‘lembu’. ‘Lembu’ itulah asma’ kepada makhluk Allah itu tadi)
Siapakah yang memberi nama ‘Allah’ kepada Tuhan?
Dia sendiri yang menamakan diriNya sebagai Allah.
Nama Allah itu qadim ataupun baharu?
NamaNya itu qadim.
Bagaimanakah keadaan/ perihal Allah Taala itu?
1. Dia qadim (asal-asal sudah sedia ada, tanpa ada permulaan)
2. Dia baqa’ (kekal keadaannya tidak pernah dan tidak akan berubah sama sekali dulu, kini dan selamanya)
3. Mukhalafatuhu lil hawadith (tak sama langsung dengan makhluk)
4. Qiamuhu binafsih (‘berdiri’ dengan sendiri, tidak memerlukan kepada apa-apa/ siapa-siapa untuk wujud)
5. Wahdaniah (Esa)
Apakah beza antara sifat dengan ‘yang disifati’ itu?
Sifat itu ialah kenyataan bagi ‘yang disifati’.
(Contohnya – sifat merah ialah sifat bagi buah saga)
Apakah beza antara wujud dengan maujud?
Wujud itu ialah kenyataan bagi maujud.
Apakah beza antara Ilah dengan iIahiyyah?
Ilah itu ialah kenyataan bagi Ilahiyyah.
Apakah beza antara Ilah dengan Allah?
Allah ialah nama bagi Tuhan yang wajib wujud.
(Ilah ialah nama jawatannya manakala ‘Allah’ ialah nama diriNya. Contoh- Perdana Menteri ialah jawatannya manakala Tunku Abdul Rahman ialah nama perdana menteri itu)
Apakah sifat itu bersekutu dengan zat?
Tidak bersekutu, tapi tidak bercerai. Kaifiatnya/ bagaimana keadaannya tidaklah kita mampu mengetahuinya.
Sifat dengan zat itu satu peribadi ataupun dua peribadi?
Satu bukan, dua pun bukan. Kaifiatnya tidak akan termampu kita fahami.
Apakah beza antara zat dengan sifat?
Zat itu dirinya, sedangkan sifat itu ialah kelakuannya.
(Contohnya- zat itu ialah diri Saidina Ali manakala sifat Saidina Ali itu ialah agak rendah, teguh badannya, berkulit sawo matang, lelaki dan seterusnya).
Mengapa Sifat 20 itu dibahagi kepada 4 bahagian?
Kerana 20 Sifat itu terdiri daripada 4 jenis iaitu:
1. Jenis wujud.
2. Jenis 'adam.
3. Jenis hal.
4. Jenis i'tibar.
Yang mana jenis wujud?
Jenis wujud itu ialah sifat ma'ani, kerana sifat ma'ani itu maujud pada zihin dan pada kharij.
Yang mana jenis 'adam?
Jenis 'adam itu ialah sifat salbiyyah, kerana sifat salbiyyah itu tiada maujud pada zihin dan pada kharij.
Yang mana jenis hal?
Jenis hal itu ialah sifat nafsiyyah, kerana sifat nafsiyyah itu ialah kelakuan maujud.
Yang mana jenis i'tibar?
Jenis i'tibar itu ialah sifat ma'nawiyyah, kerana sifat ma'nawiyyah itu nama bagi zat dibilangkan sifat. Contohnya zat itu bernama Hayyun yang hidup, kerana berdiri sifat Hayat itu kepada zat.
20 sifat itu ada berapa martabat?
Ada 3 martabat:
1. Martabat zat
2. Martabat sifat
3. Martabat asma'
Yang mana martabat zat?
Martabat zat itu ialah sifat nafsiyyah dan sifat salbiyyah.
Yang mana martabat sifat?
Martabat sifat itu ialah sifat ma'ani.
Yang mana martabat asma'?
Martabat asma' itu ialah sifat ma'nawiyyah.
Sesiapa pun termasuklah malaikat muqarrabin tak akan tahu bagaimana zat Allah.
Mengapa sifat nafsiyyah dan sifat salbiyyah itu dinamakan martabat zat?
Sifat nafsiyyah tiada kenyataan pada kharij. Sifat salbyyah pula tiada maujud kenyataannya pada kharij, hanya sifat pada khabar jua.
Mengapa sifat ma'ani dinamakan martabat sifat?
Kerana sifat itu ada kenyataan kelakuannya bekas pada menjadikan alam.
Mengapa sifat ma'nawiyyah itu dinamakan martabat asma'?
Kerana sifat ma'nawiyyah itu nama bagi zat. Contohnya keadaan zat bernama Qadirun yang kuasa, kerana berdiri sifat Qudrat pada zat.
Mengapa wujud, qidam, baqa', mukhalafatuhulilhawadit dan qiyamuhu binafsih dikategorikan kepada sifat kaya?
Kerana kelima-lima sifat itu bernama kaya zat, iaitu wujud zat Allah Ta'ala tiada dikeranakan dengan suatu kerana, qidamNya tiada permualaan, baqa'Nya tiada berkesudahan, mukhalafatuhu tiada menyerupai sesuatu apa pun, dan qiyamuhu binafsih tiada berkehendak kepada tempat.
Itulah sebab dinamakan sifat kaya.
Mengapa sifat sama', basar, kalam, sami', basir dan mutakallim dikategorikan kepada sifat kaya?
Kerana sifat itu bernama sifat kaya, Maha Suci daripada kekurangan.
Mengapa bersifat hayyat, 'ilmu, qudrat, iradat, hayyun, 'alimun, qadirun, muridun dan wahdaniyyah?
Kerana sekiranya Allah tidak bersifat dengan 9 sifat ini, nescaya tiada diperoleh suatu daripada alam ini.
Apa maksud maujud kepada zihin?
Maksudnya maujud sifat kepada zat.
Apa maksud maujud kepada kharij?
Maksudnya sifat memberi bekas pada menjadikan alam.
Mengapa sifat nafsiyyah dan sifat ma'nawiyyah maujud kepada zihin tapi tiada maujud kepada kharij?
1. Sifat nafsiyyah itu kenyataan bagi maujud.
2. Sifat ma'nawiyyah itu nama bagi zat.
Sesungguhnya nama itu tidak memberi bekas sekali-kali. Itulah sebabnya.
Bersambung...