Friday, January 20, 2017

Bila Lagi Nak Syarah Kitab Cinta Allah?

Kuliah kitab induk Ihya' 'Ulumuddin....... Syarahan Kitab Cinta Allah di Surau An-Nur dah khatam. Bila nak syarah Kitab Cinta Allah lagi?

Jawapan sahaya : Rasa-rasanya syarahan terperinci tak akan berpeluang dibuat dah kot. Sekali itulah (60 kali kuliah) seumur hayat ini. Tetapi syarahan ringkas (lebih kurang 30-40 kali kuliah) insya-Allah akan diadakan di Masjid PGA Ipoh setelah tamat kita syarahkan KItab Tauhid nanti. Di sanalah kalau mahu secara berhadap-hadapan.

Sekarang Kitab Tauhid baru 1/3. Jika panjang umur, mungkin tahun 2018 atau 2019 kot baru boleh mula. Sebulan sekali, tahun 2020 baru khatam Kitab Cinta Allah di Masjid PGA

Di Surau Al-Akhbar, baru mula KItab Tauhid. Lambat lagilah nak sampai ke Kitab Cinta Allah.

Di Surau Sg. Baru masih Kitab Ilmu. Lagilah lambat nak sampai.

Di Surau An-Nur sekarang, kita sedang syarahkan Kitab Zuhud. Sudah 7 tahun, setiap minggu berkuliah,baru 4 kitab. Masih ada 36 kitab lagi dalam kitab Ihya' ini. Dari awal2 dulu sahaya agak2 akan selesai dalam 20 ke 23 tahun. Insya-Allah panjang umur kita cuba.

Suara Facebook AZ 21-30

21. Tasawuf ini kuatnya bukan pada ilmunya, tetapi pada ilmunya yang diamalkan. Hal ini kerana tasawuf adalah jalan "melalui", :mengalami" dan "merasai". Untuk mendapatkan "rasa", "alami" dan "lalui", maka kenalah DIAMALKAN. Dengan tahu dan dengan ilmunya sahaja, tidak akan "sampai".

22. Mata kepala...walau setajam dan selama mana diasah, ia tetap tidak mampu melihat ke sebalik dinding.
Mata hati...jika diasah, insya-Allah bukan sahaja dapat melihat ke sebalik dinding, bahkan lebih jauh lagi, sehingga ke yang tidak pernah tersangka oleh kita selama ini.

23. Kata mereka : “Jangan belajar ilmu sufi, mereka jenis buang dunia. Islam tak suruh buang dunia.”

Masalahnya :
i. Sudah tahu dan sudah fahamkah apa maksud “buang dunia” tu?
ii. Selama hari ini tahu dan fahamkah “dunia” yang mana yang dimaksudkan oleh ahli-ahli sufi itu?

Jika belum tahu dan belum faham, elok sangatlah kita berdiam. Jangan kita bersangka-sangka sendiri, jangan terus percaya cakap2 orang walau sehebat mana pangkat dan popularnya, dan jangan kita menyebarkan hal-hal yang tidak benar kepada orang lain.

Dan ikutilah syarahan Kitab Zuhud daripada kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin seterusnya. Insya-Allah suatu hari nanti akan tahu dan akan faham.

24. Hari Ahad.......mengingatkan kita tentang satu zikir yang sangat hebat tetapi jarang-jarang diperkatakan orang iaitu 'Ahad". Ketika Bilal diseksa, yang paling bermain dibibir dan bertakhta di hatinya ialah "Ahad", bukan yang lain-lain.

25. Rakaman kuliah Kitab Cinta Allah ada 60 (60 kali kuliah sehingga khatam) di Youtube. Jika sehari satu fail (lebih kurang satu jam), dalam masa dua bulan tamatlah. Ada kemahuan, adalah jalan, dan adalah kejayaan.

26. Hati menjadi sarang sifat-sifat mazmumah. Kita tidak terperasan pun sifat-sifat yg dikeji pada syarak ini kuat adanya pada diri kita tetapi sebenarnya ia terpamer jelas pada tindakan2 kita. Orang-orang yang ahli, mereka boleh menyaksikannya pada diri kita.

27. Selesa atau tidak, kita mestilah tunduk patuh, cinta lagi redha akan aturan-aturan yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas kita, kerana... Allah Maha Tahu sedangkan kita fakir pengetahuan.

28. Lagi tinggi maqam yang kita daki, yang kita ditempatkan oleh Allah, maka lagi banyaklah ujian yang diberi, lagi besarlah syaitan yang berusaha menjatuhkan.

Teruskan hadapi, teruskan lalui. Jangan patah semangat, jangan mengalah.

29. Nabi Ayyub diuji dengan ketidaksihatan, Nabi Yaaqub diuji dengan ketidaksihatan, Nabi Muhammad saw pun pernah diuji dengan ketidaksihatan. Ramai lagi para nabi dan para wali diuji dengan ketidaksihatan. Tetapi mereka tetap banyak bersabar pada jalan Allah dan terus gigih berjuang pada jalan Allah. Semoga kita dapat mencontohi kesabaran dan perjuangan mereka.

30. Ringkas cakap, semua pecinta dunia telah dan akan dicerai mati oleh dunia itu, lalu dibungkusnya dalam kain kafan dan disorokkannya di dalam timbunan tanah berbaunya. Tidak ada mana-mana suaminya yang kekal bersama-sama dengannya. Masihkah kita tidak mahu mengambil pelajaran?


Sunday, January 15, 2017

Suara Facebook AZ 11-20


11. Zuhud bukannya tidak bekerja mencari nafkah.
Uwais Al-Qarni sangat zuhud, dan dia bekerja mengambil upah menggembala haiwan.
Umar Abdul Aziz sangat zuhud, dan dia bekerja sebagai pegawai kerajaan sehingga memegang jawatan khalifah.
Imam Ahmad Al-Ghazali sangat zuhud, dan dia bekerja sebagai guru dan pengetua kerajaan di Madrasah Nizamiyyah.
Salahuddin al-Ayyubi sangat zuhud, dan dia bekerja sebagi pegawai kerajaan (gabenor).
Imam Asy-Syafi'i sangat zuhud, dan dia bekerja sebagai qadhi dan wali negeri.

12. Zuhud memanglah bukan sesuatu yang mudah tetapi ia tetap boleh dicapai sekiranya kita berusaha melalui jalan-jalannya.

13. Nasihat Imam Al-Ghazali kepada para pemerintah :
"Kamu sepatutnya sentiasa rindu untuk memandang para ulama dan suka mendengar nasihat mereka."
- Imam Al-Ghazali, Nasihat untuk Para Penguasa

14. Allah suka orang yang berdoa, kerana dalam doa ada kerendahan diri dan pengiktirafan.

15. Rajin-rajin baca Al-Quran.
Rajin-rajin baca terjemahan/tafsirnya.
Dan rajin-rajin baca kitab Ihya' 'Ulumuddin kerana ia merupakan syarahan kepada persoalan-persoalan hati yang terdapat dalam Al-Quran.

16. Mengajak diri dan manusia mencintai keduniaan.. mudah.
Mengajak diri dan manusia mencintai Tuhan...memang susah.

17. Ketaksuban menghapuskan kewarasan.
Kewarasan menghapuskan ketaksuban.
Kadang-kadang tokoh atau pihak yang kita sanjung memang tersilap.
Tetapi oleh kerana sudah terkena virus taksub,
kita tidak boleh terima yang dia/mereka tersilap.
apatah lagi untuk mengakui orang lain betul.
Menyokong apa-apa, biar kekal waras
jangan sampai taksub.

18. Basahkan hatimu dengan aliran jernih sungai tariqat,
jemurkan ia di ampaian sufi di bawah sinaran mentari penyuluh ma'rifah,
anginkan ia pada hembusan bayu dingin tasawuf.
Maka lembutlah hatimu yang keras kasar itu.

19. Waktu lapar kita ingat Allah.
Waktu kenyang kita ingat Allah.
Waktu antara lapar dan kenyang pun, kita ingat Allah.

20. Cinta dunia, maksudnya kita mencintai sesuatu yang tidak kekal, bakal ditinggalkan, akan terputus.
Cinta Allah, maksudnya kita mencintai Yang Kekal, yang tiada terputus.

Suara Facebook AZ 1-10


1. Antara azam yang bagus untuk tahun 2017 ini adalah...mahu menulis dan berbuat yang baik-baik sahaja di Facebook, sepanjang tahun. Jom kita!

2. Allah panjangkan umur kita sehingga kita dapat merasai nikmat tahun 2017. Antara hikmahnya : adanya peluang untuk kita meningkatkan lagi maqam ketaatan, kecintaan, kerinduan dan keredhaan agar lebih baik daripada tahun 2016.

3. Tanpa kita sedari, apabila kita merindui seseorang yang banyak berjasa kepada kita, PADA HAKIKATNYA kita sedang merindui Allah SWT, kerana... segala jasa-jasa orang itu terhadap kita sebenarnya adalah jasa-jasa Allah kesemuanya. Begitulah "pandang tembus" yang sepatutnya bagi para pecinta Allah SWT.

4. Ilmu-ilmu agama dan amal-amalku bertambah dengan pesatnya, tetapi hati tetap gusar seperti sebelum-sebelum ini juga. Mengapa ya?

Antaranya kerana selama ini engkau mengabaikan ilmu tentang pengurusan hati, iaitu ilmu tasawuf. Engkau menganggap ia sekadar tambahan, bukan pemberatan.

Walau ilmu agamamu setaraf super 'ulama dan amal-amalmu sebanding super 'abid, tanpa selok-belok jalan tasawuf, hatimu akan tetap keras kasar sehinggalah ke matimu. Selalu juga orang tidak menyedari akan keras kasar hatinya sehingga ke akhir hayatnya.

Tidak belajar, tiadalah tahu.
Tiada tahu, tiadalah amal.
Tiada amal, tiadalah rasa.
Tiada rasa, tiadalah "sampai".

5. Untuk hari ini (untuk setiap hari) :
Zikir harian tetap dibuat.
Solat sunat walau dua rakaat.
Baca Al-Quran walau satu ayat.
Dakwah walau dengan satu isyarat.

6. Dengan segala guru, segala kitab dan segala sanad yang ada sehingga ke zaman itu (kurun ke-5H), Imam Al-Ghazali masih gagal mencapai matlamat yang dihajatinya. Lalu dia pun terpaksa keluar beruzlah selama 11 tahun, barulah dia berjaya. Segala formula, rahsia dan resepi kejayaannya itu dikarangnya dalam uzlahnya itu sebagai kitab Ihya’ ‘Ulumuddin. Kita tidak mahu?

7. Apabila hati tiba-tiba berasa hendak berzikir, ringkas kata... itu petandanya Dia sedang melorongkan kita kepada-Nya. Berzikirlah dan bersyukurlah.

8. Antara yang sukar untuk diperolehi dalam perjalanan kerohanian ini ialah keikhlasan dan kesediaan untuk merendah diri.

9. Jika mukjizat agung Rasulullah saw ialah kitab suci Al-Quran, maka karamah agung Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali tidak lain ialah kitab pengurusan hati Ihya' 'Ulumuddin.

10. Salah faham tentang zuhud (dan kesalahfahaman yang sengaja dibuat oleh orang-orang yang buruk sangka terhadap tasawuf untuk menggambarkan zuhud) :
a) Zuhud kenalah miskin.
b) Orang kaya tidak ada yang zuhud.
c) Zuhud kenalah berpenampilan selekeh, kusut-masai dan buruk.
d) Kalau bekerja mencari nafkah, orang itu tidak zuhud.
e) Zuhud tidak boleh ada wang dan harta di tangan, semua mesti dikeluarkan pada jalan Allah.
f) Zuhud kena kurang membersihkan diri.
dan pelbagai lagi kesalahan gambaran zuhud.

*Kita teruskan dengan pembelajaran Kitab Zuhud daripada kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin untuk memahami erti zuhud sebenar.

Saturday, January 14, 2017

Nak Tundukkan Nafsu, Nak Cinta Allah

SOALAN :
 Salam ustaz. Nak tundukkan nafsu nak buat macam mana? Contohnya nafsu syahwat, berzina...na’uzubillah. Rasa nak berzina (nafsu syahwat), nafsu malas nak solat (ibadat) dan seumpamanya lagi. Tolong doakan saya juga tu ustaz.

 Soalan kedua : Macam mana cara nak belajar fekah dan ingin menguasai ilmu fekah itu?

Soalan ketiga : Macam mana cara nak (datangkan) perasaan cinta pada Allah?

Harap ustaz tolong jawab solan-solan itu ustaz.


JAWAPAN :
 Wlksm Tuan xxxxxxx xxxxx. Sebenarnya saya ni tak banyak tahu. Sekadar nak kongsi-kongsi tukar-tukar fikiran sesama sahabat tu, bolehlah.

Nafsu milik Allah sepenuhnya. Oleh itu, untuk menundukkan nafsu, yang utama kenalah mohon kepada Tuannya. Kita mohon kepada Allah agar Dia tundukkan nafsu kita. Nak kuasai ilmu fiqh dan mahu rajin solat pun begitu juga. Awal-awal kena mohon kepada Pemiliknya terlebih dahulu. Sama juga dengan perasaan cinta akan Allah. Cinta itu milik Allah sepenuhnya. Hanya Dia sahaja yang ada kuasa untuk memberi atau tidak memberi cinta. Maka kita kena banyak minta daripada Tuannya.

 Ada bernafsu syahwat, itu fitrah manusia. Itu tandanya kita manusia normal. Cuma kita jangan tersalah salur sahaja. Lazimkan zikir dalam hati, apa-apa zikir. Contohnya “Allah, Allah, Allah”. Nanti walaupun perasaan hendak melakukan maksiat tu tiba, kita sendiri akan berasa malu kepada Allah kerana hati kita tidak putus-putus menyebut nama-Nya. Maka biasanya keghairahan kita terhadap maksiat tu akan mengendur dan mengendur.

 Belajar fekah, jika sekadar nak tahu-tahu dan lepaskan diri kita sendiri, caranya ialah dengan rajin mengikuti kuliah-kuliah tentang fekah di masjid surau. Tetapi jika mahu sampai ke peringkat berkemahiran, kita kena ikuti pengajian bersiri. Kena tumpu satu-satu pengajian. Ikuti siri pengajian tu. Kalau ada kitabnya, belajar dari awal sehingga habis. Insya-Allah lama-kelamaan akan semakin pandai malahan ada kemahiran.

 Nak dapatkan rasa lazat, manis, sedap dan bersemangat dalam solat, antara kaedah yang mudah adalah dengan selalu mengulang-ulang baca fadhilat-fadhilat solat. Kumpulkan hadis-hadis tentang kelebihan-kelebihan solat, print out dan selalu ulang-ulang baca. Insya-Allah akan datang semangatnya.

 Nak dapatkan rasa cinta Allah :
1.Kena selalu bergaul dengan orang-orang yang cinta Allah.
2.Elok sangat jika dapat berguru tentang ilmu cinta Allah ni.
3.Rajin-rajin belajar dan membaca kitab-kitab tentang cinta Allah.

Wallahualam. Sekadar itu sahaja tuan. Salah silap dan kekurangan, saya mohon maaf.

Abu Zulfiqar
8 Januari 2017

Sunday, January 1, 2017

Merindui Allah, Mencintai Kematian

Katanya ahli-ahli sufi tidak membenci kematian, malah mencintainya. Mengapa ya?

Kerana mati itulah laluan untuk bertemu dengan Kekasih (Allah SWT) yang sudah sekian lama dirindui. Tidakkah kita suka untuk bertemu Yang Dirindui? Hanya yang belum mencinta dan merindu yang membenci kematian.

Tetapi... mengapa mereka berdoa minta dipanjangkan umur?

Kerana mereka mahu membuat persiapan pertemuan yang terbaik mungkin. Kedudukan kita di akhirat nanti bergantung kepada kedudukan kita di dunia. Setinggi atau serendah mana kedudukan kita di sisi Allah ketika di dunia ini, sebegitulah kedudukan kita di akhirat nanti. Oleh itu, mereka mahu mencantikkan lagi ilmu dan amal tentang ma'rifah, mahabbah, redha dan lain-lain semaksima mungkin.

Macamlah orang yang hendak berkahwin. Tarikh perkahwinan sudah hampir tetapi kalau boleh dia mahu dipanjangkan waktunya agar persediaan-persediaan untuk menerima pasangannya lebih lengkap berbanding sebelumnya.

Begitu juga dengan orang yang masuk pertandingan pidato. Kalau boleh, dia mahu menganjakkan lagi saat gilirannya agar persediaannya lebih baik.

Ilmu Banyak tapi Hati Keras

Ilmu-ilmu agama dan amal-amalku bertambah dengan pesatnya, tetapi hati tetap gusar seperti sebelum-sebelum ini juga.
Mengapa ya?

Antaranya kerana selama ini engkau mengabaikan ilmu tentang pengurusan hati, iaitu ilmu tasawuf. Engkau menganggap ia sekadar tambahan, bukan pemberatan.

Walau ilmu agamamu setaraf super 'ulama dan amal-amalmu sebanding super 'abid, tanpa selok-belok jalan tasawuf, hatimu akan tetap keras kasar sehinggalah ke matimu. Selalu juga orang tidak menyedari akan keras kasar hatinya sehingga ke akhir hayatnya.



Tidak belajar, tiadalah tahu.
Tiada tahu, tiadalah amal.
Tiada amal, tiadalah rasa.
Tiada rasa, tiadalah "sampai".