Tuesday, October 28, 2008

Merawat Kerasukan Jin


Beberapa orang tertanya-tanya kaedah rawatan yang saya lakukan. Sebenarnya saya bukanlah seorang perawat, cuma apabila tidak ada rotan maka akar pun jadilah. Ikhtiar saya hanyalah dengan doa. Setakat ini ia hanya berkesan kepada jin-jin yang berpangkat bawah daripada Sarjan sahaja. Berikut adalah kaedah rawatan yang saya amalkan:


1. Ikhlaskan hati untuk merawat kerana Allah. Iblis dan syaitan tidak dapat menguasai orang yang ikhlas. Ikhlas akan memudahkan doa dan rawatan kita berhasil.


2. Mula-mula ucapkan 2 kalimah syahadah sama ada di mulut ataupun dalam hati. Syahadah diperbaharui untuk memastikan yang kita sedang diiktiraf Islam di sisi Allah. Boleh jadi sebelum itu kita ada melakukan perbuatan yang menyebabkan kita tidak diiktiraf Islam oleh Allah tanpa kita sedari. Berdoa dan merawat sebagai seorang Islam lebih mudah berhasil (kita tak nafikan ada doa orang bukan Islam yang dikabulkan Tuhan).


3. Kemudian baca selawat ke atas Nabi dan ahli keluarganya, sebaik-baiknya 3 kali. Ini untuk mendapat perlindungan Allah. Sekali kita berselawat kepada Nabi, 10 kali Allah balas selawat untuk kita. Jika Allah sendiri yang memberikan selawat untuk kita maka bagaimana kita boleh gagal?


4. Seterusnya beristighfar 3 kali. Diharapkan dengan beristighfar maka semua dosa-dosa kita akan terhapus. Berdoa dan merawat dalam keadaan sebagai seorang yang tidak berdosa atau kurang dosa lebih mudah dimakbulkan.


5. Baca Bismillahillazi layadurru ma’asmihi syaiun filardhi wa la fissamaai wahuwas sami ul’alim 3 kali agar tidak ada suatu apa pun yang berupaya memudaratkan kita sama ada di bumi ataupun di langit.


Bacan-bacaan awal ini lebih kepada pembersihan diri, dekatkan diri dengan Allah dan sebagai benteng peribadi. Kalau jin itu berpangkat prebet saja, ketika ini pun kadang-kadang dia sudah beredar. Yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal biasanya akan menunjukkan tanda-tanda tidak selesa. Untuk mulakan rawatan:


1. Baca Auzubillahis samiil alimmiminasy syaitanirrajim. Ini untuk menguatkan lagi pelindungan Allah kepada kita dan menggugat jin tersebut.


2. Baca al-Fatihah- ketua segala penawar. Kelebihan-kelebihannya sedia kita maklumi.


3. Baca pula ayat Kursi- untuk menewaskan jin. Fadhilatnya biasa kita ketahui.


4. Disudahi dengan 3 Qul. Al-Ikhlas- untuk mengesakan Tuhan. Untuk menggugat jin jika ia masih belum pergi. Al-Falaq- untuk melawan sihir. Kadang-kadang kedatangan jin itu disertai dengan sihir. An-Nas- untuk mengukuhkan perlindungan kita dengan Allah. Juga untuk melawan campurtangan syaitan dan manusia sekiranya ada.


Hembuskan kepada pesakit. Biasanya di kepala dan tubuh. Sekiranya pesakit mengalami kesakitan di mana-mana bahagian badan seperti leher, kaki, perut, dada, tangan dan sebagainya maka boleh dihembus ke kawasan itu. Berdasarkan pengamalan peribadi, doa dan rawatan yang menggunakan teknik hembusan atau semburan lebih berkesan. Ini kerana dalam nafas kita ada tenaga nafas yang ajaib. Sahabat Nabi juga merawat dengan cara ini. Ia lebih tidak menyelesakan jin tersebut. Amat baik kalau dihembus ke air kosong lalu diberi minum, atau dipercik, atau disapu atau dimandikan kepada pesakit.


Ketidakselesaan jin boleh dikesan jika mata pesakit meliar, ataupun tiba-tiba mengalirkan air mata, ataupun menangis macam kanak-kanak, ataupun mengaduh kesakitan, ataupun menjerit melolong, ataupun berlawan cakap, ataupun pesakit menggelepar, ataupun jin itu menyakitkan mana-mana bahagian tubuh pesakit (contohnya mencekik leher, menggigit sendi) dan sebagainya.


Dalam beberapa kes yang pernah saya lihat (ketika itu saya tidak bertindak sebagai perawat) ada pesakit yang bersilat, berlawan dengan sesuatu yang kita tak nampak dan mencabar perawat dengan makian.


Sekiranya jin itu jenis yang lemah, dia akan keluar. Kalau dia masih berdegil, maka bacakan (biasanya saya akan meneruskan bacaan walaupun dia sudah keluar- sebagai pengukuhan):

Lauanzalna… ( ayat-ayat terakhir surah al-Hasyr)


Sekiranya jin itu bertaraf Koperal ke bawah, maka ketika ini ia akan lari. Ayat-ayat ini amat serasi dengan saya. Doa dan rawatan saya biasanya berhasil apabila sampai ke ayat ini. Tapi ayat-ayat yang serasi tidak sama antara seorang perawat dengan perawat yang lain. Ada perawat yang ayat ‘power’nya ayat Kursi, ada awal surah Nun, ada yang kalimah syahadah dan sebagainya. Untuk saya nampaknya Tuhan berikan ayat ini. Biasanya, kalau sudah dua pusingan ayat ini dibaca dan jin itu masih tidak pergi, maksudnya jin itu berpangkat Sarjan dan ke atas. Jadi pesakit kenalah berikhtiar dengan perawat yang lebih handal. Ayat ini menunjukkan kekuatan ayat-ayat suci al-Quran. Ia juga menunjukkan kekuasaan Allah kerana banyak nama-nama lain Allah di dalamnya.


Boleh ditambah dengan Doa Menghindarkan Syaitan, Salamun ala Sulaimana fil alamin dan Doa Sulaiman. Agak panjang untuk disertakan di sini. Pembaca boleh mendapatkannya dalam buku Doa & Rawatan Penyakit oleh Dr Haron Din & Dr. Amran Kasimin di bahagian 10 Bacaan Asas Pertama. Kepada saya, ayat-ayat yang dimaksudkan memang berkesan.


Sebagai tambahan lagi, saya bacakan juga Ayat 9- petikan beberapa ayat al-Quran.

Seandainya jin itu “main kasar” dan saya pun sudah “naik angin” (sekadar bahasa), maka saya akan bacakan seluruh surah al-Baqarah. Sekiranya dalam keadaan yang amat terdesak, barulah kaedah terakhir ini digunakan.


Begitulah serba ringkas kaedah yang digunakan. Insyaallah kalau ada peluang nanti, saya akan menghuraikan perkara ini dengan lebih tersusun.


* Susunan bacaan di atas tidak saya ikuti dalam semua keadaan.



PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT


Alexanderwathern

NOV 2006


sumber


Soal jawab Ringkas: Mazhab

Soalan oleh Zamri:
Boleh tak ceritakan sedikit tentang mazhab?


Jawapan
:


Mazhab maksudnya aliran pemikiran. Ulama telah bersepakat pada asalnya untuk berpegang dengan Al Quran, hadis, ijma dan qias. Tetapi ulama juga menghadapi masalah dalam memahami dalil-dalil yang ada iaitu Al Quran dan hadis untuk mengeluarkan sesuatu hukum. Maksud sesuatu hadis mungkin berbeza bagi setiap ulama.


Contohnya dalam hal membasuh kepala ketika berwuduk. Ada ulama faham kita kena basuh seluruh kepala. Ada ulama faham kena basuh sebahagian saja. Ada pula ulama yang faham cukuplah dengan mengenakan air kepada beberapa helai rambut sahaja. Kesimpulannya, semua pendapat itu betul. Tak boleh kita hendak menyalahkan mana-mana pendapat.


Pada zaman Rasulullah lagi perbezaan pendapat telah berlaku di kalangan sahabat dan ternyata Nabi Muhammad tidak menyalahkan mana-mana pihak- kedua-duanya betul. Ini berlaku dalam rombongan para sahabat ke Bani Quraizah. Rasulullah berpesan agar ahli rombongan itu menunaikan solat Asar di tempat Bani Quraizah.


Namun perjalanan itu jauh. Jika mereka tiba di sana, waktu Asar telah habis. Di sini para sahabat berpecah kepada dua pendapat. Satu kumpulan menunaikan solat Asar di pertengahan jalan kerana waktu Asar akan habis apabila tiba di sana (seolah-olah mereka menentang perintah Rasulullah supaya solat Asar di sana). Satu kumpulan lagi tetap menunaikan solat Asar di sana walupun ketika itu telah masuk waktu Maghrib (seolah-olah mereka pula menentang perintah Tuhan bahawa solat Asar mestilah dibuat dalam waktu Asar).


Ternyata kedua-dua pihak betul kerana Rasulullah tidak menyalahkan mana-mana pihak. Sekiranya ada kesalahan, pasti Rasulullah akan membetulkannya, tapi baginda tidak berbuat demikian. Ini memberi panduan kepada kita yang Rasulullah memang ada mengisyaratkan untuk umat Islam selepas zamannya bahawa perbezaan pendapat itu tidaklah semestinya menjadi satu kesalahan.

Aliran mazhab asalnya ada banyak, puluhan malah mungkin ratusan. Pada zaman selepas zaman Rasulullah, boleh dikatakan setiap orang ada mazhab sendiri kerana semuanya faqih-faqih belaka. Namun yang masih hidup hingga ke zaman ini ada empat mazhab yang besar iaitu:


Mazhab Hanafi di asaskan oleh Imam Abu Haniffah
Mazhab Maliki diasaskan oleh Imam Malik
Mazhab Syafie diasaskan oleh Imam Syafie
Mazhab Hambali di asaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal


Satu lagi mazhab yang tak kurang pengaruhnya adalah mazhab yang diasaskan oleh seorang sufi lagi waliyullah bernama Sufyan ath-Thauri. Namun lama-kelamaan ia tidak lagi diamalkan ramai orang sehingga pupus. (*Mazhab-mazhab lain berkembang baik kerana mendapat dokongan pemerintah sedangkan Sufyan sentiasa menjadi buruan pemerintah yang zalim. Tambahan pula hidup kesufiannya yang zuhud menjadikan mazhabnya tidak dapat berkembang dan bertahan lama. Imam Ahmad sendiri memandang Sufyan sebagai lebih faqih daripada dirinya)

Imam Syafie sendiri merupakan anak murid Imam Malik tetapi Imam Syafie masih boleh mengasaskan mazhab yang lain. Adakah mereka menyalahkan antara satu dengan lain? Jawapannya tidak. Kedua-duanya betul.

Imam Syafie mestikan baca doa qunut dalam solat Subuh sedangkan imam yang seorang lagi kata tak perlu. Ketika Imam Syafie pergi ke daerah imam itu, Imam Syafie telah mengimamkan solat Subuh dan dia tidak membacakan qunut. Dia berbuat demikian kerana menghormati pendapat imam tersebut. Lihatlah, sesama imam mujtahid pun masih boleh saling mengiktiraf walaupun berbeza pendapat.


Kata Hassan al Banna:
“Perselisihan pendapat dalam masalah cabang fekah tidak seharusnya menjadi sebab kepada perpecahan agama.”


Mereka ini bertaraf mujtahid, iaitu orang yang mampu berijtihad (* memberi pendapat sendiri) untuk mengeluarkan hukum-hukum agama. Sekiranya ijtihad mereka betul, mereka akan mendapat pahala dan sekiranya ijtihad mereka salah, mereka tidak berdosa (*riwayat lain mengatakan sekiranya ijtihad mereka betul, mereka akan mendapat 2 kali pahala, sekiranya salah akan mendapat 1 kali pahala). Sungguhpun begitu, mereka tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan ijtihad. Mereka sangat berhati-hati. Pernah ditanyakan 40 soalan kepada Imam Syafie tetapi dia hanya menjawab 13 soalan sahaja. Ini menunjukkan sikap tawadhuknya (merendah diri), padahal dia boleh saja memberikan pandangannya (ijtihad). Dia hanya menjawab perkara yang benar-benar dia arif di dalam hal itu.

Bagi kita orang biasa, kita mestilah mengikut mana-mana mazhab, kecualilah kita telah mencapai tahap tinggi yang boleh meneliti dalil-dalilnya. Wajibkah kita bertaqlid (iaitu ikut aliran mana-mana tok guru atau imam)? Jawapannya wajib sehingalah kita ada kemampuan untuk meneliti dalil-dalil hukum.

Contohnya seorang anak kecil belajar solat dengan ayahnya. Maka dia mesti ikut ajaran ayahnya (mesti taqlid dengan ayahnya). Takkanlah tak benarkan dia solat lalu disuruh pergi belajar teliti dalil-dalil hukum dulu, bila dah tahu baru solat. Alamatnya sampai umur 30-40 barulah dia nak bersolat. Ini mengarut.


Kata Hassan al-Banna:

“Seorang muslim yang ilmunya belum sampai ke peringkat nazar (iaitu mampu memahami dalil-dalil hukum) mestilah mengikut salah satu imam dalam Islam


PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT


Alexanderwathern 2005


*Dijawab secara lisan bersama-sama oleh Alexanderwathern dan Ustaz Tuan Azman Tuan Aziz (Mesir) pada 24 JUN 2005. Kemudiannya barulah dipindahkan ke dalam bentuk tulisan. Maka tentulah ia tidak sebaik jawapan terancang)

sumber

Tidak ada ‘Dosa Waris’ dan ‘Penebusan Dosa’



“Maka kira-kira pada pukul tiga pagi itu, berteriaklah Jesus dengan suara yang nyaring katanya: Ya Tuhanku! Wahai Tuhanku! Mengapa Engkau meninggalkan aku?”

(Matius 27:46)

Dalam ayat di atas, Jesus berteriak meminta pertolongan Tuhan ketika dia hendak disalib. Mengapakah dia menjerit meminta pertolongan Tuhan sedangkan dia sendiri tahu yang kelahirannya ke dunia ini hanyalah untuk disalibkan (supaya dosa-dosa manusia dapat ditebus)?
Ini menunjukkan yang Jesus sendiri tidak bersedia untuk disalib, apatah lagi untuk menebus dosa-dosa manusia. Konsep penebusan dosa manusia yang diajar dalam agama Kristian pada hari ini adalah palsu belaka.


Mengapa badan ketuhanan Jesus tidak mampu mententeramkan badan kemanusiaannya?
þ
Kalau benar kedatangan Jesus sebagai Anak Tuhan adalah untuk disalibkan, mengapa badan ketuhanan Jesus (iaitu Anak Tuhan itu) lari? Maksudnya yang disalibkan itu ialah badan kemanusiaan Jesus, bukannya badan ketuhanan (iaitu Anak Tuhan yang sebenar) yang sepatutnya disalib untuk menebus dosa manusia!


Jika begitu, Anak Tuhan yang sebenar belum disalibkan lagi. Maka dosa orang-orang Kristian pun belum dihapuskan! Untuk melenyapkan dosa waris umat Kristian, mereka terpaksalah memanggil badan ketuhanan Jesus (iaitu Anak Tuhan yang sebenar) lalu disalibkan betul-betul.

“…….Sesungguhnya terkutuklah setiap orang yang tergantung pada kayu.”

(Galatia 3:13)

Jesus mati dengan cara disalib, iaitu digantung pada palang kayu. Kalau mengikut ayat Injil ini, Jesus itu adalah orang yang terkutuk kerana dia sendiri tergantung pada kayu. Benarkah ayat ini? Bagaimana orang yang terkutuk boleh menjadi mulia dan mampu menebus segala kesalahan manusia?
þ

“Orang yang berbuat dosa itu juga akan mati, maka anak tidak akan menanggung kesalahan bapanya, dan bapa pun tidak akan menanggung kesalahan anak-anaknya, kebenaran mereka yang benar terletak pada dirinya dan kejahatan orang fasik juga terletak pada dirinya.”

(Yehezkial 18:20)

Setiap orang akan menanggung dosa-dosanya sendiri. Dengan ini ajaran ‘Dosa Waris’ dan ‘Penebusan Dosa’ di dalam Kristian tertolak sama sekali.

“Tetapi menurut kedegilanmu dan hati yang tidak mahu bertaubat, engkau menghimpunkan kemurkaan ke atas dirimu untuk hari muka dan kenyataan hukum Allah yang adil, yang akan membalas ke atas setiap orang mengikut perbuatannya (sendiri).”

(Surat Kiriman Paulus kepada Orang Rom 2: 5&6)

Tuhan akan membalas mengikut perbuatan masing-masing. Tidak ada dosa yang boleh diwariskan dari seorang kepada seorang yang lain. Jesus bukanlah penebus dosa umat manusia.

“Kerana anak manusia akan datang dengan kemuliaan Bapanya beserta dengan segala malaikatnya, pada masa itu Dia akan membalas kepada setiap orang mengikut amal perbuatannya.”

(Matius 16:27)

Memang tidak ada dosa waris dan penebusan dosa.
þ

“Kerana tak dapat tidak kita semua akan jadi nyata di hadapan kursi pengadilan Kristus, supaya setiap orang menerima balasan sebagaimana yang dilakukan oleh tubuh itu, baik atau jahat.”

(Surat Kiriman Kedua Kepada Orang Kristian 5:10)

Lagi-lagi Bible sendiri menyatakan tidak ada dosa waris. Dosa Nabi Adam dan Hawa sama sekali tidak diwariskan kepada anak cucunya dan sama sekali tidak ditebus dengan penyaliban Jesus.

Menurut ajaran Kristian, kedatangan Jesus adalah untuk disalib sebagai menebus dosa-dosa manusia (walaupun telah dibuktikan sebelum ini yang Jesus sendiri tidak bersedia untuk disalibkan- sila semak kembali ayat Bible Matius 27:46). Akhirnya Jesus pun ditangkap oleh para pengkhianat lalu dibunuh di palang salib.


Persoalannya… mengapakah orang-orang yang menangkap dan membunuh Jesus dianggap pengkhianat atau para penjahat oleh agama Kristian? Seandainya mereka tidak menangkap dan membunuh Jesus, maka tidak tertebuslah dosa manusia. Sepatutnya mereka dianggap wira dan orang-orang alim kerana mereka tolong mempercepatkan penebusan dosa manusia.
Tambahan lagi, apabila Jesus disalib maka hapuslah dosa-dosa umat manusia termasuklah mereka yang menangkap dan membunuhnya. Malangnya hingga ke hari ini mereka yang begitu besar jasanya terhadap umat manusia masih dianggap para pengkhianat oleh penganut agama Kristian.


Cubalah fikirkan berulang kali secara waras.

Agama Kristian percaya budak-budak kecil yang baru lahir telah membawa ‘dosa waris’. Mereka telah sedia berdosa kerana mewarisi dosa-dosa Nabi Adam dan Hawa. Dengan sebab itu, mereka perlu dibaptis (biasanya dibawa ke gereja kepada paderi) untuk menghapuskan ‘dosa waris’ tersebut. Apabila seseorang anak kecil itu mati sebelum sempat dibaptis, maka dia tidak dapat masuk ke dalam syurga memandangkan dia berdosa.


Malangnya semua kepercayaan karut Kristian ini dibantah oleh Jesus sendiri dalam Bible:


“Biarkanlah anak-anak kecil itu, jangan dilarang mereka itu datang kepadaku kerana orang seperti inilah yang mempunyai kerajaan di syurga.”

(Matius 19:14)

Dalam peristiwa di atas Jesus telah mengakui kesucian anak-anak kecil, bahkan anak-anak kecil itu akan memiliki kerajaan di syurga sedangkan mereka belum dibaptiskan dan belum mengakui penyaliban Jesus sebagai penebus dosa manusia. Sememangnya setiap anak yang lahir itu suci dan tidak membawa ‘dosa waris’.

Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’


sumber


Sifat-sifat Seorang Muslim

-->
Dalam pertemuan yang lalu kita telah membuat ‘check-list’ adakah aqidah kita selama ini benar-benar aqidah seorang Islam, dan kita telahpun lulus kesemua ciri-cirinya. Kali ini kita akan menilai adakah akhlak kita selama ini akhlak seorang Muslim. Antara ciri-cirinya adalah:

1. WARAK- Saya mestilah seorang yang warak iaitu tidak melakukan perkara-perkara yang haram, berusaha untuk tinggalkan perkara-perkara yang makruh dan menjauhi perkara-perkara syubhat (perkara-perkara kesamaran iaitu yang kita kurang jelas adakah perkara itu halal ataupun haram- ada orang kata boleh dan ada orang kata tak boleh)

2. MENUNDUKKAN PANDANGAN- Saya mestilah berusaha untuk tidak melihat perkara-perkara yang haram dan juga perkara-perkara yang mempengaruhi saya untuk mencintai keduniaan

3. PELIHARA LIDAH- Saya mestilah memelihara lidah saya daripada mengumpat orang, menjadikan orang lain sebagai bahan ejekan, melawak berlebih-lebihan, bercakap kasar (kalau pada wanita akan lebih ketara), mencaci, menghina, tertawa kuat, rajin nak komen orang lain dan seumpamanya.

Pesan Nabi saw:
“Orang yang beriman itu bukanlah orang yang suka menuduh, suka melaknat, suka cakap yang kotor-kotor dan keji.” (Turmizi)

Satu cara mudah untuk menjauhi perkara-perkara ini adalah dengan mengelakkan daripada berkawan baik dengan orang-orang sebegitu. Pilihlah teman yang baik-baik.
Golongan yang rajin komen orang lain ini agak bahaya. (* Dia suka mempertikaikan tindakan orang lain untuk menunjukkan pemikirannya adalah lebih baik dan perlu diberi perhatian.)
Ini tidak bermaksud kita tidak boleh bergurau, tetapi biarlah gurauan kita itu berpada-pada/ tidak melampaui batas dan kena pada tempatnya. Nabi Muhammad sendiri bergurau.

Contoh: Seorang wanita beritahu Nabi tentang hal suaminya begini dan begini. Kemudian kata Nabi (* dalam bahasa pasar orang Melayu): “Ooo… suami kamu yang mata dia ada putih-putih tu kan?” Wanita itu terkejut lalu berkata: “Eh, mana ada. Mata suami saya biasa je macam mata orang lain.” Jawab Nabi: “Betul le tu. Kan ke mata setiap manusia mesti ada bahagian yang putih.” Mereka pun tersenyum

Contoh 2: Nabi Muhammad danm Saidina Ali makan beberapa biji buah kurma. Apabila habis, Nabi Muhammad meletakkan biji-biji bahagiannya di tempat biji-biji yang dimakan oleh Saidina Ali. Kemudian kata Nabi (* dalam bahasa pasar kita): “Ish ish ish Ali! Engkau makan sebegitu punya banyak kurma. Tengok, berapa banyak biji yang ada kat depan engkau.” Saidina Ali yang bijak membalas gurauan Rasulullah dengan berkata: “Tapi, engkau lagi dahsyat ya Rasulullah. Tengok, dengan biji-biji sekali engkau makan (kerana di depan Rasulullah dah tak ada biji kurma lagi).”

Contoh 3: Rasulullah hendak menaikkan seorang wanita ke atas unta sebagai kenderaan (*kalau tak silap Saidatina Aisyah). Kata Nabi (dalam bahasa pasar kita): “Aku nak naikkan engkau ke atas anak unta.” Jawab wanita itu: “Mana boleh naik anak unta. Tentulah saya kena naik unta dewasa.” Balas Nabi: “Betul le tu. Kan ke unta dewasa tu pun anak kepada seekor unta jugak dulu.”

4. MALU- Saya mestilah seorang yang pemalu dan malu saya itu biarlah kena dengan tempatnya. Janganlah malu kita itu menjadi penghalang daripada kita berdakwah, daripada beramar makruf nahi mungkar. Nabi Muhammad sendiri sangat pemalu. Dikatakan baginda lebih pemalu daripada anak dara di sebalik tirai tetapi dia tidak malu untuk berdakwah. Hari ini sifat malu telah banyak hilang daripada manusia terutamanya para wanita.

5. BERSOPAN & SABAR- Saya mestilah seorang yang sopan, lemah-lembut dan sabar. Ini kerana jalan dakwah ini penuh dengan ranjau-ranjau seperti tidak disukai orang, susah, hina, tindasan, fitnah dan sebagainya tetapi kita beringatlah… bahawa itulah jalan yang telah ditempuh oleh para rasul, para nabi, para aulia (para wali Allah) dan para solehin. Kalau kita hendak sentiasa hidup senang, maka jadilah kita seperti Firaun yang kaya raya, makan sedap, tak pernah sakit dan sebagainya. (*Jalan mana yang kita nak pilih?)

Maksud firman Tuhan:
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”

(Surah Az-Zumar: 10).

Namun begitu sabar kita biarlah bertempat. Janganlah sampai kita dipijak kepala tetapi masih lagi bersabar. Sebagaimana kata Imam Syafie: “Sesiapa yang orang membuatnya marah tetapi dia masih tak marah, maka orang itu seperti kaldai.” Maksudnya marah kita biarlah sesuai dengan tempat. Jangan pula kita tidak sabar, hinggakan hal-hal yang kecil pun nak marah.

Bersabar dan bersopan ini biasanya orang boleh buat ketika senang saja. Ketika dalam kepayahan, hilang semua itu dan timbul pula sifat tak sabar dan kasar. Kalau kita nak uji seseorang itu betul-betul sabar dan bersopan atau tidak, maka lihat keadaannya ketika dalam kepayahan seperti mendaki gunung, buat kerja berat, dalam kesusahan dan seumpamanya. Semasa senang dan selesa, bolehlah dia menunjukkan sikap sabar dan sopannya, tetapi ketika susah, bolehkah dia mengekalkan sifat-sifat itu?

6. BENAR & JUJUR- Saya mestilah sentiasa benar dan bersikap jujur. Sekali orang tak percaya dengan kita, maka susahlah kita hendak mendapatkan kepercayaan orang di lain kali. Sebab itu berwaspadalah dengan fitnah, kerana fitnah orang boleh menmyebabkan orang lain hilang kepercayaan kepada kita.

Pesan Nabi:
“Sesungguhnya sifat benar itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa ke syurga.” (Bukhari & Muslim)

Contoh: Kisah seorang gembala yang bergurau kononnya ada harimau-serigala datang nak makan ternakannya. Maka orang kampung tergesa-gesa datang hendak mengusir harimau itu. Rupa-rupanya si gembala menipu dengan tujuan hendak mengenakan orang kampung. Balasannya, pada masa yang lain memang benar ada harimau datang. Si gembala menjerit minta bantuan orang kampung tetapi mereka tak datang lagi kerana anggap si gembala menipu seperti dahulu.

Lihatlah kejujuran Nabi Muhammad hinggakan digelar Al-Amin iaitu seorang yang sangat terpercaya kerana tidak pernah berdusta. Apabila baginda promosikan dakwahnya, maka orang-orang Quraisy sukar untuk menolak kerana mereka yakin Nabi Muhammad tak pernah menipu. Dalam keadaan begitupun masih banyak orang Mekah yang tak mahu beriman dengan baginda. Bayangkan kalau kita yang bukan Al Amin ini, tentulah lagi sukar untuk dipercayai orang. Seandainya Nabi Muhammad bukan Al Amin, maka tentulah dakwahnya tidak akan berjaya.

7. TAWADUK- Saya mestilah bersikap tawaduk iaitu merendah diri. Rendah diri saya itu mestilah sesuai dengan tempatnya hinggakan saya boleh bergaul dengan orang atasan dan boleh juga bergaul baik dengan orang bawahan. Apabila berbicara dengan orang kampung, janganlah kita gunakan laras bahasa orang atasan seperti bercakap dengan professor. Ini tak lain tujuannya nak menunjukkan yang kita ini hebat. Jangan bersikap begitu. Elakkan diri daripada bersikap bangga diri, tinggi diri dan takbur. Lihat contoh Iblis. Asalnya dia ratusan atau ribuan tahun beribadah kepada Tuhan (kita berapa tahun beribadah kepada Tuhan) hinggakan doanya lebih makbul daripada doa para malaikat. Tetapi kerana sikapnya yang meninggi diri iaitu tidak mahu sujud kepada Nabi Adam (kerana menganggap dirinya yang dicipta daripada api jauh lebih mulia berbanding Adam yang dicipta daripada tanah) maka dia diusir daripada syurga, dilaknat selama-lamanya dan akan kekal dalam neraka. Hanya sebab itu sahaja. Maka kita berwaspada agar tidak terkena penyakit ini.

Pesan Nabi:
“Tak akan masuk syurga orang yang ada sebesar atom sifat takbur dalam dirinya.” (Muslim)

8. JAUHKAN SIFAT BURUK SANGKA, MENGUMPAT & MENCARI-CARI KESALAHAN ORANG LAIN.
Contoh: Kalau ada kawan kita tak tepati janji, kita bersangka baik dulu. Boleh jadi dia ada masalah yang tak boleh dielakkan. Jangan suka mengorek rahsia keburukan orang lain untuk dibuat bahan sedapkan cerita.

9. PEMURAH- Saya mestilah tidak kedekut untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta dan wang saya untuk agama. Kita tak akan mampu mengikut jejak para sahabat dari segi pengorbanan, tapi janganlah kita tak berkorban langsung. Segala pengorbanan kita akan dibayar oleh Tuhan dengan mata wang, tetapi mata wang ini belum laku di dunia. Ia hanya akan laku apabila kita tiba di akhirat kelak.

Contoh: Kisah Saidina Umar cuba nak lawan Saidina Abu Bakar dari segi korban harta. Pernah satu ketika umat Islam perlukan harta untuk peperangan. Maka Saidina Umar bawa separuh daripada hartanya untuk didermakan. Dia beranggapan dapat mengalahkan Saidina Abu Bakar, tetapi Abu Bakar rupanya mengeluarkan seluruh hartanya. Begitulah pengorbanan para sahabat.

10. KUDWAH HASANAH (Jadi contoh/ model yang baik)- Saya mestilah berusaha untuk menjadikan diri saya ikutan yang baik kepada orang lain. Saya mestilah menjaga pertuturan saya, akhlak saya, makan minum saya, cara saya berpakaian, kerja saya dan sebagainya sama ada dalam keadaan senang ataupun ketika kesusahan. (*Orang menilai daripada penampilan kita. Kalau penampilan kita baik, maka orang lebih mudah menerima dakwah kita). Kalau orang lihat kita pun orang dah tak berminat, bagaimana hendak berdakwah. (*Jadikan diri kita seorang yang menarik, tapi dalam batas-batas Islam dengan tujuan kerana dakwah)

Satu cara mudah untuk menilai diri kita ialah dengan membayangkan ada seorang ulama berdiri di sebelah kanan kita dan ada pula seorang artis Hollywood di sebelah kiri kita. Nilai diri sendiri, kita lebih menyerupai siapa? Yang di sebelah kanan atau di sebelah kiri?

PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT

Alexanderwathern 2005

(*Pengisian ini telah disampaikan oleh Alexanderwathern secara lisan pada 24 JUN 2005. Kemudiannya barulah dipindahkan ke dalam bentuk tulisan. Maka tentulah ia tidak sebaik artikel terancang)