ANTARA YANG DISENTUH DALAM LIVE STREAMING ke-10 (15 Ogos 2025) :
TERPEDAYA DENGAN DUNIA
Ada yang sangka kebahagiaan itu terletak pada kepuasan nafsu seks dan makan minum. Ada yang sangka kebahagiaan itu terletak pada banyaknya harta. Ada yang sangka kebahagiaan itu terletak pada harumnya nama, sanjungan dan pujian orang. Ada yang sangka kebahagiaan itu terletak pada kemegahan, kemuliaan, dan ketundukan orang ramai kepada diri mereka.
Ada pula yang mendakwa dunia ini tempat penderitaan dan akhirat itulah tempat kebahagiaan. Maka tak ada bezanya jika mereka beribadah ataupun tidak. Yang penting mereka akan bahagia selepas mati. Lalu mereka pun mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Ada yang meyakini bahawa Allah tidak memerlukan ibadah hamba-hamba-Nya kerana Allah tidak mengalami sebarang kekurangan oleh kederhakaan orang, dan tidak juga mengalami pertambahan dengan kebaktian orang, lalu mereka mengikut nafsu syahwat. Apa sahaja boleh dibuat ikut suka hati. Mereka “melipatkan hamparan agama” dan membatalkan hukum-hukumnya. Kononnya hal itu termasuk sebahagian daripada kebersihan tauhid mereka.
Ada yang sangka bahawa ibadah itu ialah mujahadah sehinggalah hamba itu sampai kepada kepada ma’rifatullah. Setelah ma’rifah, maka tercapailah matlamat. Selepas itu tidak perlu lagi kepada wasilah (jalan) dan usaha daya upaya, lalu mereka meninggalkan usaha (dengan berserah sahaja kepada Allah) dan meninggalkan amal ibadah. Mereka mendakwa kononnya maqam mereka sudah tinggi iaiatu ma’rifatullah, maka tidak usah lagilah melaksanakan tugas-tugas agama kerana tugas-tugas agama itu kononnya untuk orang2 awam sahaja.
Ada banyak lagi aliran-aliran batil dan kesesatan-kesesatan besar yang jumlahnya lebih daripada 70 golongan besar. Yang terlepas daripadanya hanya satu golongan sahaja iaitu yang menjalani dan melakukan apa yang diperbuat oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya iaitu tidak meninggalkan dunia secara keseluruhan dan tidak mencegah kehendak nafsu syahwat secara keseluruhan. Inilah R4S (Rasulullah saw, 4 sahabat paling utama, Sahabat2 utama yang lain)
Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya yang terselamat hanyalah satu golongan.”
Lalu mereka (para sahabat) bertanya : “Wahai Rasulullah! Siapakah mereka?”
Nabi saw menjawab : “Al-jama’ah.”
Lalu ditanyakan : “Siapakah al-jama’ah itu?”
Nabi menjawab : “Apa yang aku padanya dan sahabat-sahabatku.” (Turmizi, Abu Dawud, Ibnu Majah)
Sesungguhnya para sahabat berada di atas jalan yang terang, iaitu mereka tidak mengambil dunia untuk dunia, tetapi mereka mengambil dunia untuk agama. Mereka tidak menjadikan diri mereka rahib yang meninggalkan dunia keseluruhannya. Mereka bersederhana dalam segala hal.
…live streaming di t.me/imamalghazali
No comments:
Post a Comment