PANDUAN MEMILIH PASANGAN MENURUT IMAM AL-GHAZALI
Pertama : Hendaklah wanita solehah iaitu yang bagus ilmu dan amal agamanya, sedapat mungkin.
Kedua : Hendaklah memilih wanita yang bagus tingkah laku dan adab sopannya.
Elakkanlah wanita-wanita yang kasar, lidahnya celupar dan berperangai tidak senonoh. Elakkan sedapat mungkin wanita-wanita yang kuat mengeluh, suka mengungkit-ungkit jasanya, yang suka melebih-lebihkan suaminya yang terdahulu (jika si wanita sudah pernah berkahwin), yang mudah terpesona dengan keduniaan, yang hobinya asyik bersolek siang malam, dan yang cerewet tentang makanan.
Sabda Rasulullah SAW : “Wanita kamu yang terbaik adalah yang apabila dipandang oleh suaminya, dia menggembirakan si suami. Dan apabila disuruh oleh suaminya, dia mentaati si suami. Dan apabila suaminya keluar, dia menjaga kehormatan si suami dengan memelihara dirinya sendiri dan harta suaminya.” (An-Nasa’i)
Ketiga : Eloklah jika dapat memilih wanita yang dipandangnya “ada cantik” sedapat mungkin.
Berusaha mendapatkan wanita yang cantik tidak dilarang oleh agama. Yang dilarang adalah mencari wanita kerana kecantikannya yang menjadi SEBAB UTAMA, ataupun memilih wanita kerana kecantikannya SEMATA-MATA. Sebab itulah Rasulullah saw meminta kita untuk melihat seseorang wanita itu terlebih dahulu sebelum menikahinya.
Sabda Nabi SAW : “Apabila salah seorang kamu mahu mengahwini kaum wanita mereka, hendaklah kamu melihatnya (terlebih dahulu).” (Muslim)
Sabda Nabi SAW : “Apabila telah dijatuhkan oleh Allah dalam hati kamu akan seseorang wanita, hendaklah dia melihatnya (terlebih dahulu) kerana hal itu lebih layak untuk mendapatkan keserasian hidup antara kedua-duanya.” (Ibnu Majah)
Kata Al-Amasy : “Setiap perkahwinan yang terjadi tanpa dilihat terlebih dahulu, maka kesudahannya (biasanya) susah dan mendung.”
Dengan melihat calon isteri, kita tidak dapat melihat budi pekerti, harta dan agamanya. Jadi, anjuran supaya melihat itu sememangnya berkait dengan kecantikan. Sedapat-dapatnya biarlah pada calon isteri itu ada cantik juga agar kasih sayang kedua-duanya berpanjangan dan tidak tertutup nafsu si suami terhadap isterinya.
Keempat : Pilihlah wanita yang ringan mas kahwinnya.
Sabda Nabi saw : “Antara tanda keberkatan seseorang wanita (daripada pelbagai tanda-tanda keberkatan yang lain) adalah cepat kahwinnya, cepat mendapat anak dan rendah maharnya.” (Ahmad, Baihaqi)
Kelima : Pilihlah wanita yang dijangkakan berpotensi banyak dapat anak, sedapat mungkin. Jika tidak dapat, tidak mengapa.
Sabda baginda SAW : “Hendaklah (dianjurkan agar) kamu mengahwini wanita yang (dijangka) boleh beranak banyak dan mencintai suaminya.” (Abu Dawud, An-Nasa’i)
Sekiranya wanita itu belum pernah berkahwin dan tidak diketahui kemampuannya dalam beranak, maka hendaklah diperhatikan kesihatannya dan usianya kerana dua hal itu biasanya berkait dengan kemampuan beranak.
Keenam : Eloklah jika dapat (jika tidak dapat, tidak mengapa, bahkan Rasulullah saw sendiri berkahwin dengan beberapa orang janda) memilih wanita yang perawan (masih dara) sedapat mungkin.
Hal ini kerana wanita yang masih gadis itu lebih berpotensi mencintai suaminya sepenuh hati kerana perkahwinan yang pertama kali itu adalah lebih indah bagi si isteri. Si suami juga akan berasa lebih tenteram.
Ketujuh : Pilihlah wanita dari keturunan yang baik-baik, sedapat mungkin.
Maksudnya dari keturunan yang umumnya dikenali sebagai bagus amal agama mereka dan baik-baik pula tingkah laku mereka.
Kelapan : Eloklah memilih wanita yang tidak memiliki persaudaraan yang dekat dengan kita sedapat mungkin.
Biasanya kita sudah terbiasa dengan saudara-mara yang dekat dan memungkinkan kurang keseronokan bersuami isteri apabila berkahwin.
Live streaming channel Tele : Ilmu2 Imam al-Ghazali (Petikan, Ringkasan & Rumusan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin)
No comments:
Post a Comment