Sunday, August 24, 2025

Nota Live : Ahli2 Tasawuf Yang Terpedaya

 

TERPEDAYANYA SEBAHAGIAN AHLI-AHLI TASAWUF/SUFI

(antara yang disentuh dalam live streaming ke-11 pada 16/8/25)

 

1.      Berpenampilan atau berkelakuan (meniru2) sebagaimana penampilan dan kelakuan ahli2 tasawuf padahal hati mereka sebenarnya tidak bertasawuf pun. Mereka terpedaya dengan bentuk pakaian sufi, istilah-istilah sufi yang dibualkan oleh ahli-ahli tasawuf, adab-adab atau peraturan-peraturan sufi, adat istiadat kaum sufi, tarian sufi, berserkup kepala (dengan selendang, baju) dan sebagainya dengan meniru-niru itu semua.

 

2.      Mereka memang bagus dari segi mencontohi hal itu semua tetapi pada batinnya mereka malas untuk berkorban dan bermujahadah sebagaimana ajaran sufi, malas untuk berlatih atau melaksanakan riadah-riadah (latihan-latihan amal badan dan amal hati) sufi, malas untuk menyucikan dosa-dosa zahir (amal anggota) dan dosa-dosa batin (amal qalbu). Zahir sufi yang mereka contohi itu adalah sangat bagus, cuma yang bermasalahnya ialah mereka tidak pula mencontohi batin sufi.

 

3.      Mereka yang memang meninggalkan daripada memakai sutera yang haram bagi lelaki (untuk pakaian, hamparan dan seumpamanya) tetapi sebaliknya mereka menempah, mencari dan memakai pakaian yang lebih mahal lagi daripada pakaian sutera itu. Mereka bersenang-senang dengan kebagusan kain dan kebagusan makan minum.

 

4.      Mereka mencari kesenangan daripada pemerintah.

 

5.      Mereka masih melakukan maksiat, lebih-lebih lagi maksiat batin. Kejahatan mereka ini merebak pula kepada orang-orang lain yang mengikut mereka. Mereka menyangkakan bahawa ahli-ahli tasawuf itu ialah sebagaimana diri dan keadaan mereka.

 

6.      Mendakwa berma’rifah, menyaksikan Al-Haqq, melewati maqam2 (kononnya berada pada kedudukan yang tinggi), selalu ‘ainusy-syuhud dan dekat dengan Allah. Sebenarnya mereka tidak mengenal pun perkara-perkara ini selain pada nama-nama dan kata-kata (hebat pada istilah-istilah dan cerita-cerita sahaja) yang diulang-ulangnya (untuk menunjukkan dia arif dan bermaqam tinggi).

 

7.      Mereka menyangka bahawa ilmu mereka adalah lebih tinggi daripada orang2 terdahulu dan orang2 terkemudian, lalu mereka memandang kepada ahli-ahli fekah, ahli-ahli tafsir, ahli-ahli hadis dan ulama-ulama lain dengan mata kehinaan (memandang rendah), lebih-lebih lagilah kepada orang awam. Kononnya mereka mengkhabarkan tahu rahsia segala rahsia. Kononnya para ulama itu terhijab daripada Allah dengan hadis-hadis. Mereka mendakwa diri mereka sampai kepada Al-Haqq dan termasuk dalam kalangan para muqarrabin. Padahal di sisi Allah, mereka termasuk dalam kalangan orang-orang zalim yang munafik. Sebenarnya di sisi orang-orang yang mempunyai qalbu (orang-orang yang benar pada jalan tasawuf ini), mereka hanyalah orang-orang dungu yang jahil.

 

8.      Antaranya lagi ialah golongan serba boleh atau boleh belaka (al-ibahah). Mereka melipatkan hamparan permaidani agama dengan menolak segala hukum-hakam, dan menyamakan antara yang halal dan yang haram.

 

9.      Ada yang mendakwa kononnya : “Allah tidak perlu akan segala amal kita pun, maka buat apa kita bersusah-payah mengikut syariat?”

 

10.  Ada pula yang mendakwa nafsu syahwat dan mencintai dunia itu adalah fitrah manusia yang mustahil untuk dielakkan.

 

11.  Yang berpendapat bahawa amal perbuatan anggota badan itu tidak dipandang oleh Allah, tetapi yang dipandang hanyalah hati. Kononnya kita melayan nafsu syahwat itu bukannya dengan hati tetapi hanya layanan tubuh fizikal sahaja.

 

12.  Maqam mereka sudah di atas daripada maqam orang awam, lalu mereka tidak perlu lagi membersihkan jiwa dengan amal badaniyyah (seperti solat, puasa, haji dan lain-lain). Mereka ditipu oleh syaitan kerana sibuknya mereka dengan mujahadah (dalam keruhanian), padahal mereka belum mengukuhkan ilmu agama dan tidak berguru kepada seorang guru yang layak, iaitu guru yang teguh pada agama dan ilmu.

 

13.  Ada yang mendakwa mencintai Allah sebelum mengenal-Nya. Mereka berkelakuan baik hanya di depan umum, tetapi apabila bersendirian, mereka adalah sebaliknya.

 

14.  Ada yang mendakwa bersifat qana’ah dan tawakkal, lalu mereka bergerak dan bermusafir ke sana-sini tanpa membawa perbekalan. Mereka tidak menyedari bahawa yang demikian adalah perbuatan bid’ah yang tidak dinukilkan daripada golongan salaf dan para sahabat.

 

15.  Antaranya ada yang mendakwa berakhlak baik, tawadhuk dan suka memaafkan. Mereka rajin mengunjungi dan melayani kaum sufi. Padahal mereka mengumpulkan harta haram dan harta syubhat lalu mereka menyumbang kepada kaum sufi untuk menunjukkan khidmat mereka. Ada yang menggunakan harta itu untuk menaja ibadah haji kaum sufi.

 

16.  Semua itu adalah sifat-sifat mazmumah iaitu mahu jadi ketua (hendakkan kuasa), membanyakkan harta, mahu dipandang tinggi, dipandang mengasihi kaum agamawan, riya’, sum’ah (mahu harum nama). Tanda-tanda mereka ialah mereka sebenarnya suka melengahkan atau kurang peduli akan perintah-perintah Allah sama ada pada zahir atau batin mereka.

 

…live streaming di channel TG : Ilmu2 Imam Al-Ghazali

No comments: