Wednesday, October 8, 2025

Faedah2 Beruzlah

 

FAEDAH-FAEDAH BER’UZLAH

 

Faedah 1 : Dengan ber’uzlah, engkau dapat selesaikan ibadah dengan selesa, boleh banyak bertafakur, dan dapat “bermesra” dengan Allah. Engkau juga dapat waktu untuk menyingkapkan sir (rahsia) Allah Taala tentang urusan dunia dan akhirat, alam langit dan bumi yang tak terlihat oleh pancaindera (yakni alam malakut). ‘Uzlah membuatkan kita lebih fokus. Banyak hal2 yang istimewa terbuka dengan beruzlah.

 

Faedah 2 : Ber’uzlah membuatkan engkau terselamat daripada melakukan dosa2 yang biasa berlaku apabila kita bercampur-baur dengan manusia lain seperti mengumpat, lalat merah (namimah, membawa-bawa cerita), berdiam daripada melakukan amar ma’ruf nahi munkar, dan sebagainya. Sangat sukar bagi engkau untuk mengelak daripada mengumpat apabila kita bercampur gaul dengan orang ramai. Kebanyakan manusia memang berasa lazat mengumpat.

 

Jika engkau bercampur dengan mereka dan bersetuju dengan perbuatan mereka yang mengumpat itu, nescaya engkau berdosa. Sebaliknya jika engkau berdiam diri pula, nescaya engkau adalah sekutu mereka. Orang yang mendengar merupakan salah seorang daripada mereka yang mengumpat. Jika engkau membantah atau menegur mereka, mereka akan marah dan umpatan mereka akan beralih pula kepada engkau nanti. Keadaan sebegini memang menyusahkan. Jika engkau berdiam diri terhadap kemungkaran-kemungkaran itu, engkau telah menderhakai Allah. Jika engkau membantah akan kemungkaran-kemungkaran itu, engkau akan mendapat pelbagai kemudaratan.

 

Faedah Ketiga : Ber’uzlah membuatkan engkau terlepas daripada segala fitnah permusuhan.

Sedikitlah negeri-negeri (kawasan-kawasan) yang terlepas daripada sifat taksub, fitnah dan permusuhan seperti dalam hal politik kepartian, semangat kenegerian, bangsa, kumpulan2 dsb. Maka orang yang mengasingkan diri dapatlah memperoleh keselamatan.

 

Faedah Keempat : Ber’uzlah membolehkan engkau terlepas daripada kejahatan-kejahatan manusia.  Ada yang mengatakan  : “Bergaul dengan orang-orang jahat akan mewariskan buruk sangka terhadap orang-orang yang baik-baik.”

 

Faedah Kelima : Apabila engkau ber’uzlah, orang ramai tidaklah mengharap-harapkan engkau dalam pelbagai hal, maka kehidupan engkau lebih tenang. Engkau juga tidak terharap-harap akan orang ramai, maka kehidupan engkau juga akan lebih tenang.

 

Faedah Keenam : Engkau akan terselamat daripada menyaksikan orang-orang yang buruk perangainya dan kurang akal fikirannya. Terlepaslah engkau daripada kekasaran kebodohan dan budi pekerti orang-orang seperti itu, kerana melihat orang yang buruk kelakuannya itu merupakan buta kecil.

 

Inilah antara faedah-faedah ber’uzlah. Seterusnya seimbangkan pula dengan faedah2 bercampur gaul dengan manusia.

 

(petikan live streaming 3/10/25 di Channel Tgrm ILMU2 IMAM AL-GHAZALI)

No comments:

Post a Comment