HIKAYAT PENDEKAR-PENDEKAR MAHALOKA
Episod 3: SITI KHATIMAH BERTEMU NADIM
Lebih kurang dua tahun selepas itu, hubungan Kerayong dengan jirannya Masih bergolak akibat FITNAH yang didalangi oleh kerajaan MAHALOKA. Mahaloka berbuat demikian agar Kerayong dan Masih berperang sesama sendiri. Dalam pada itu, Mahaloka akan menangguk di air keruh dengan menyerang kedua-dua kerajaan itu ketika mereka lemah.
Ditakdirkan bala tentera Kerayong seramai 3,500 orang berhadapan dengan tentera Masih yang berkekuatan 5,000 orang di suatu tempat bernama Tanjung Balak. Sebelum perang dilancarkan, Sultan Kerayong yang sedar kekurangan tenteranya menjalankan satu muslihat. Dia minta tentera Masih menghantar seorang hulubalang mereka untuk berhadapan satu sama satu dengan seorang hulubalang Kerayong. Pasukan Masih menghantar NADIM.
Sultan Kerayong pula menghantar Srikandi Cindai Hitam (SITI KHATIMAH – isteri Nadim). Harapan Sultan Kerayong ialah supaya Pendekar Cindai Hitam berjaya membunuh salah seorang ayam tambatan tentera Masih. Jika hal ini berlaku, moral tentera Masih akan menjunam kerana pahlawan mereka dikalahkan oleh seorang wanita. Dengan itu, tentera Masih mungkin boleh dialahkan sekiranya pertempuran benar-benar terjadi.
Cindai Hitam dan Nadim saling berhadapan tetapi tidak mengenal satu sama lain. Cindai Hitam menutup wajahnya dengan kain (seakan-akan topeng) manakala Nadim yang dahulunya hidup zuhud (ketika di Mahaloka) kini memakai pakaian kebesaran kerajaan Masih. Janggut dan rambutnya juga disimpan panjang.
Nadim agak keberatan untuk menggunakan seluruh kekuatannya ke atas seorang wanita. Kesempatan ini diambil oleh Cindai Hitam untuk menghujani serangan ke atas lawannya dengan sepenuh hati. Nadim tercedera kerana tidak menyangka sebegitu hebat wanita itu. Nadim tidak boleh lembut hati lagi lalu menyerang balas dengan permainan harimau. Sebenarnya mereka agak kehairanan kerana saling mengenal caragaya lawan masing-masing. Namun pertarungan mesti diteruskan.
Satu ketika Nadim berjaya mencakar dan merobek topeng muka Cindai Hitam. Serta-merta dia mengenal Siti Khatimah isterinya lalu menarik balik pukulannya. Malangnya Siti Khatimah meneruskan serangan dan berjaya menumbangkan Nadim. Hampir saja Siti Khatimah menamatkan riwayat Nadim jika bukan kerana SANG KHOJA menjeritkan nama Siti Khatimah. Siti Khatimah begitu terperanjat melihat Sang Khoja. Siti Khatimah menangis teresak-esak selepas mengetahui hal yang sebenarnya lalu segera memohon ampun dari suaminya Nadim.
Kejadian itu menimbulkan satu suasana yang bercampur-baur dalam kalangan kedua-dua belah tentera. Dengan usaha Nadim dan Siti Khatimah, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk berunding. Hasilnya, mereka faham bahawa perbalahan mereka selama ini tidak lain didalangi oleh Raja Mamat dari Mahaloka.
Begitulah ketentuan Tuhan. Kerayong dan Masih yang hampir-hampir bertumpahan darah, tiba-tiba menjadi sahabat.
bersambung...
0 comments:
Post a Comment